Luar Negara Kolum

Kenali Neil Etheridge, calon pemain Asia Tenggara pertama untuk beraksi di EPL

Masih ingat nama Neil Etheridge?

Penjaga gol tinggi lampai skuad kebangsaan Filippina ini hanya selangkah daripada mencipta rekod yang membanggakan. Sebaik sahaja memastikan Cardiff City meraih tiket ke Liga Perdana Inggeris (EPL), dia akan menjadi pemain dari Asia Tenggara yang pertama beraksi dalam saingan tersebut.

Cardiff menamatkan saingan Liga Kejuaraan di tangga kedua dengan 90 mata. Selepas 46 perlawanan dilalui, mereka ketinggalan Sembilan mata daripada Wolverhampton Wanderers yang berada di puncak liga dan dua mata mengatasi Fulham yang berada di kedudukan ketiga. Dalam aksi terbaru, Cardiff terikat tanpa jaringan ketika bertemu Reading.

Bersama Cardiff, Neil telah menjadi penjaga gawang utama. Sebanyak 43 perlawanan telah disertai dan hanya dibolosi 37 gol.  Malah, dia mencatatkan 17 perlawanan tanpa bolos pada musim ini! Satu pencapaian hebat buat penjaga gol berketinggian 188 sentimeter ini.

Bukan itu sahaja, 17 kali tidak dibolosi juga menjadi antara jumlah terbanyak dalam saingan Liga Kejuaraan. Sebagai perbandingan, penjaga gol Wolves, John Ruddy, hanya mengutip lebih tujuh aksi tanpa bolos berbanding Neil, walaupun beraksi bersama pasukan juara dan jauh lebih senior berbanding Neil.

Neil Etheridge memulakan kariernya di Akademi Chelsea. Dia kemudian melanjutkan pembelajarannya dalam dunia bola sepak bersama pasukan B-18 Fulham, dinaikkan ke skuad B-23 Fulham dan dibawa ke pasukan utama pada 2011. Namun, disebabkan dilihat belum bersedia untuk bersama skuad utama, dia beberapa kali dipinjamkan ke pasukan seperti Charlton Athletic, Bristol Rovers dan Crewe Alexandra.

Dia kemudian dilepaskan oleh Chelsea pada 2014 kerana dianggap tidak berkembang dengan baik tetapi situasi itu tidak mematahkan semangatnya. Pemain yang sudah berusia 28 tahun itu kemudian menyertai Oldham Athletic selama setahun, sebelum ke Charlton dan Walsall. Akhirnya, dia menerima tawaran dari Cardiff pada Julai 2017.

Bagi peminat bola sepak Asia Tenggara, nama Neil Etheridge mula dikenali ketika Piala AFF 2010. Ketika itu, dia tampil hebat menjaga gawang Filipina dan berjaya membawa The Azkals melepasi peringkat kumpulan. Namun, cabaran mereka terhenti apabila tewas di tangan Indonesia ketika separuh akhir.

Daripada dua aksi yang dilangsungkan di Stadium Gelora Bung Karno, Filipina tewas kedua-duanya dengna keputusan 1-0. Gawang Neil juga dibolosi pemain yang sama, iaitu Cristian Gonzales. Satu gol hadir menerusi tampanan hasil daripada hantaran Firman Utina dan satu lagi jaringan terhasil menerusi sepakan jarak jauh.