Malaysia Liga Super Malaysia

Khairul Fahmi Che Mat: Jasamu di Kelantan, tidak akan dilupakan

Selepas sembilan tahun berbakti untuk Kelantan, akhirnya penjaga gol yang cukup ikonik untuk Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat terpaksa membuat keputusan sukar untuk meninggalkan skuad The Red Warriors.

Suatu ketika dahulu, apabila kita menyebut mengenai penjaga gol Kelantan, satu nama yang pastinya dikenali dan sering disebut adalah Halim Napi. Dengan imej yang cukup ‘nakal’, Halim Napi telah beraksi selama sembilan musim untuk Kelantan, dengan perpindahan ke Negeri Sembilan dan JKR Kelantan di antara sembilan tahun itu.

Selepas Halim Napi, posisi penjaga gol Kelantan tidak cukup dikenali sehinggalah seorang anak muda berjaya bangkit daripada sekadar berada di bangku simpanan kepada penjaga gol utama Kelantan.

Khairul Fahmi bermula sebagai penjaga gol utama skuad Piala Presiden Kelantan pada tahun 2006 dan berjaya membantu skuad muda Kelantan mara ke perlawanan akhir Piala Presiden. Namun, mereka tewas dalam penentuan sepakan penalti.

Pemain yang terkenal dengan jolokan ‘Apek’ ini kemudiannya dipanggil ke skuad Harimau Muda dan beraksi di kejohanan Champions Youth Cup yang berlangsung di Malaysia pada tahun 2007. Persembahan hebat Apek dalam kejohanan itu telah memberikannya peluang untuk menjalani uji cuba bersama kelab Belanda PSV Eindhoven yang tertarik dengan aksi Apek dan rakannya Asraruddin Putra Omar.

Biarpun tidak terpilih untuk bersama PSV Eindhoven, Khairul Fahmi telah didaftarkan untuk bersama skuad senior Kelantan pada tahun 2009. Selepas sekian lama menunggu giliran, dia mendapat peluang untuk bermain selepas penjaga gol utama, Syed Adney melakukan kesilapan dalam satu perlawanan. Sejak itu, Apek terus menjadi pilihan untuk menjaga gawang The Red Warriors.

Antara pencapaian Khairul Fahmi bersama Kelantan adalah dua kejuaraan Liga Super, dua Piala FA, dua Piala Malaysia dan satu Piala Sumbangsih. Kejuaraan yang pastinya diingati adalah kejuaraan treble Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia yang dimenangi Kelantan pada tahun 2012.

Khairul Fahmi juga pernah memenangi anugerah pemain muda terbaik dan penjaga gol terbaik sepanjang beraksi untuk Kelantan.

Selain kejuaraan peringkat kelab, hasil kerja kerasnya bersama Kelantan telah membawanya menjadi penjaga gol utama negara. Ekoran prestasi mantap pada tahun 2010, Khairul Fahmi telah dipilih oleh ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal untuk beraksi bersama Harimau Malaya. Sekali lagi Khairul Fahmi perlu menunggu peluangnya. Dia tidak beraksi dalam perlawanan pertama ketika Malaysia tewas kepada Indonesia. Diturunkan pada perlawanan kedua, Khairul Fahmi terus menjadi antara pemain utama yang membawa pulang kejuaraan Piala AFF Suzuki pada tahun 2010. Antara aksi terbaiknya adalah ketika menyelamatkan sepakan penalti di awal permainan untuk terus memberikan kelebihan buat Malaysia.

Setahun selepas itu, sekali lagi Khairul Fahmi menjadi wira buat Malaysia. Dalam penentuan sepakan penalti di perlawanan akhir Sukan SEA Jakarta, Apek menyelamatkan sepakan penentuan daripada Ferdinand Sinaga untuk menghadiahkan skuad Datuk Ong Kim Swee pingat emas Sukan SEA.

Tujuh tahun selepas kejayaan itu, semuanya sudah berubah buat Khairul Fahmi. Dia bukan lagi pilihan utama untuk penjaga gol negara dan semalam, secara rasminya dia meninggalkan pasukan kesayangannya untuk satu pengembaraan bersama pasukan barunya, Melaka United.

Biarpun dia gagal menunjukkan aksi terbaiknya dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, nama Khairul Fahmi akan sentiasa terpahat dalam sejarah sebagai antara penjaga gol terbaik dari Kelantan.