Malaysia

Datuk Ong Kim Swee pantau aksi Indonesia vs Korea Utara

Biarpun Malaysia tidak menyertai kejohanan Piala Ulang Tahun Persatuan Bolasepak Indonesia (PSSI Anniversary Cup), tetapi nampaknya jurulatih skuad bawah 23 tahun Malaysia, Datuk Ong Kim Swee nampaknya tetap berada di sana.

Kehadiran Kim Swee dalam perlawanan di antara Indonesia dan Korea Utara semalam telah menarik perhatian media Indonesia yang menanyakan kepada ketua jurulatih Indonesia, Luis Milla apa reaksinya dengan kehadiran Kim Swee.

“Itu perkara biasa. Kami sebagai jurulatih perlu mencari maklumat mengenai pihak lawan. Dia memang perlukan beberapa hari (sepanjang kejohanan) untuk melihat pihak lawannya.

Kehadiran Kim Swee disedari media Indonesia, Bolasport.com yang melaporkan jurulatih negara itu berada di tempat duduk VVIP dengan mengenakan kemeja biru muda dan seluar hitam sambil menulis sesuatu di buku nota yang dibawa bersamanya.

Kehadiran Kim Swee di kejohanan itu berkemungkinan untuk memantau pasukan bawah 23 tahun Indonesia, Korea Utara, Uzbekistan dan Bahrain yang mungkin menjadi pihak lawan skuad muda Malaysia di kejohanan Sukan Asia Jakarta nanti.

Sebelum ini, Malaysia telah dijemput untuk menyertai kejohanan PSSI Anniversary Cup ini dan diberitakan akan menghantar skuad bawah 21 tahun negara untuk menggantikan tempat skuad bawah 23 tahun. Namun, disebabkan sukar untuk memanggil pemain kerana kejohanan diadakan di luar kalendar FIFA, Malaysia telah menarik diri daripada menyertai kejohanan tersebut.