Piala Dunia 2018 Luar Negara

Harapan Luis Figo buat Portugal di Piala Dunia 2018

Tatkala Piala Dunia 2018 semakin hampir untuk melakukan sepak mula, pemain-pemain serta pengurus pasukan pasti sudah mencongak hari, termasuk peminat bola sepak. Tidak terkecuali adalah bekas pemain skuad kebangsaan Portugal era 90-an sehingga awal 2000, Luis Figo.

Individu berusia 45 tahun itu memiliki harapan yang tinggi terhadap pasukan negaranya menjelang aksi di Russia nanti. Bahkan, bekas pemain yang pernah menyarung jersi Sporting Lisbon, Barcelona, Real Madrid dan Inter Milan berharap The Navigators mampu layak ke final.

“Setiap negara mempunyai sasaran masing-masing di pentas Piala Dunia, termasuk Portugal. Kami adalah pasukan yang ingin menunjukkan prestasi terbaik ketika berada di Russia. Saya percaya skuad kendalian Fernando Santos mampu tampil cemerlang sehingga ke peringkat akhir,” katanya menerusi Chinadaily.

Memiliki pemain-pemain hebat seperti Goncalo Guedes, Luis Nani, Rui Patricio, Ruben Neves, Bernardo Silva serta pemain bintang, Cristiano Ronaldo, menjadi salah satu sebab mengapa Figo amat yakin dengan kempen yang bakal diharungi negaranya pada kali ini.

“Ronaldo menunjukkan prestasi yang sangat hebat pada musim ini. Dirinya mempunyai pengaruh dalam setiap pertandingan yang disertai Portugal walaupun jika tidak mencatat jaringan.”

Tidak dilupakan, pemenang Ballon d’Or pada tahun 2000 itu juga menyifatkan kejayaan di pentas besar seperti EURO 2016 dan Piala Konfederasi 2017 menjadi pemangkin kepada pasukannya.

Dalam pertandingan yang pertama, The Navigators berjaya menamatkan kempen selaku juara sementara dalam satu lagi kejohanan, Ronaldo dan rakan sepasukannya menduduki tempat ketiga.

Apa yang ditunjukkan Portugal dalam beberapa tahun terakhir ketika diketuai Ronaldo sememangnya mencipta satu fenomena. Mereka sangat konsisten dalam melayakkan diri ke peringkat kalah mati dalam setiap kejohanan. Satu-satunya kejohanan yang terkeculi adalah Piala Dunia 2014.

Walaupun harapannya buat Portugal begitu tinggi, Figo sedar akan cabaran yang akan diberikan oleh nama-nama besar lain seperti Argentina, Brazil, Jerman, dan Sepanyol yang memiliki kekuatan luar biasa untuk berpeluang bergelar juara Piala Dunia 2018. Namun, dia tetap percaya situasi itu tidak akan menghalang Portugal untuk menunjukkan taring sebenar dan beraksi hebat di Russia.