Berita AFC Cup

Piala AFC: Persija Jakarta bakal gunakan ‘kasut berbeza’ menentang Tampines Rovers

Bertemu pasukan di Singapura pastinya mendatangkan masalah buat mana-mana pasukan. Bermain di atas padang rumput sintetik, banyak pasukan merasa perbezaan dan kesukaran kerana sering bermain di atas padang rumput asli. Perkara ini berlaku kepada Johor Darul Ta’azim ketika bertemu Tampines Rovers dalam aksi Piala AFC.

Tidak mahu mengulangi kesilapan yang dilakukan oleh JDT, ketua pasukan Persija Jakarta, Ismed Sofyan menyatakan pasukannya telah melakukan persediaan bagi bermain di atas permukaan rumput sintetik di Stadium Jalan Besar, Singapura.

“Kami akan menggunakan kasut yang berbeza untuk bermain di atas padang ini.

“Selain itu, kami juga akan berhati-hati ketika membuat bentesan kerana bermain di atas padang sintetik, kaki akan mudah luka.”

Persija Jakarta telah melakukan persiapan lengkap untuk berdepan Tampines walaupun tahu pasukan berkenaan sudah tidak layak untuk ke peringkat seterusnya dalam saingan Piala AFC.

“Sebenarnya ini menjadi beban buat kami kerana mereka sudah tidak layak. Menang atau kalah sudah tidak bermakna untuk mereka. Tetapi kami perlukan tiga mata untuk mara ke pusingan seterusnya.”

Persija Jakarta kini terikat 10 mata bersama kelab Vietnam, Song Lam Nghe An yang akan berdepan Johor Darul Ta’azim. Persija berada di tangga teratas kumpulan H kerana menang dan seri ke atas Song Lam Nghe An. Dalam perlawanan yang lalu, Persija membelasah JDT 4-0 di Stadium Gelora Bung Karno.