Malaysia Liga Super Malaysia

Ketiadaan tonggak utama, Terengganu terpaksa turunkan pemain simpanan

Kecederaan yang menimpa beberapa pemain Terengganu FC iaitu Kipre Tchetche, Abdul Malik Mat Ariff, Nasrullah Hanif Johan dan Shahrul Aizad Zulkifli memaksa pasukan dari Pantai Timur itu untuk menurunkan barisan pemain simpanan.

Keadaan ini membimbangkan penolong jurulatih, Mohamad Nik apabila pemain-pemain itu pula akan turun menentang Kedah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Jumaat ini.

Katanya, tempoh perlawanan Liga Super juga menyebabkan pemainnya masih tercari-cari rentak permainan mereka dan sedikit sebanyak menjejaskan perancangan pasukan.

“Beraksi di laman sendiri sudah pasti kami mahu mengutip mata penuh apatah lagi hanya ketinggalan empat mata di belakang pendahulu liga, JDT.

“Bagaimanapun kecederaan pemain import Kipre Tchetche dan tiga pemain tonggak tempatan iaitu Malik Mat Ariff, Nasrullah Hanif Johan dan Shahrul Aizad Zulkifli sedikit sebanyak menjejaskan rentak permainan pasukan.

“Keadaan ini ditambah pula dengan rehat yang lama dalam liga menyebabkan corak permainan mereka sedikit terjejas,” katanya kepada Berita Harian.

Mengulas lanjut, barisan jurulatih Terengganu akan menyenaraikan beberapa pemain simpanan bagi menggantikan pemain cedera menjelang perlawanan menentang Kedah nanti.

“Sebelum liga bermula kembali, kami sudah memaklumkan kepada semua pemain supaya sentiasa bersedia sebab bila-bila masa sahaja mereka akan disenaraikan dalam kesebelasan utama.

“Inilah peluang terbaik buat semua pemain untuk merebut peluang dalam pasukan,” katanya.