Malaysia Berita

Pemain Kuantan FA perlu batalkan kontrak sebelum cari pasukan baharu

Pemain Kuantan FA dibenarkan untuk mencari pasukan baharu pada jendela perpindahan kedua yang akan dibuka bermula 14 Mei hingga 10 Jun depan selepas penyertaan skuad itu dalam Liga Malaysia (Liga M) dibatalkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) baru-baru ini.

Menurut ejen bolasepak, Effendi Jagan Abdullah, berdasarkan kontrak sedia ada, mana-mana pemain yang tidak menerima gaji daripada majikannya mempunyai hak untuk mencari pasukan lain.

Namun katanya, pemain Kuantan FA perlu mengemukakan surat pembatalan kontrak kepada pengurusan pasukan terlebih dahulu.

“Bagi kes pemain Kuantan FA, mereka sebenarnya masih mempunyai kontrak bersama pasukan itu walaupun MFL sudah menyingkirkan mereka daripada Liga M.

“Namun, jika ikut kontrak sedia ada, pemain boleh meminta untuk membatalkan kontrak mereka jika pasukan terbabit dibelenggu masalah tunggakan gaji yang lama seperti melebihi tiga atau empat bulan.

“Jadi pemain Kuantan FA hanya perlu membatalkan kontrak mereka dengan mengemukakan surat kepada pihak pengurusan terbabit dan selepas itu mereka bebas mencari pasukan lain,” katanya kepada Berita Harian.

Penyertaan Kuantan FA dalam Liga Perdana dibatalkan serta merta selepas pasukan itu tidak menghadirkan diri ke Stadium Shah Alam bagi menentang PDRM tanpa memaklumkan kepada sekretariat MFL.

Tindakan itu dibuat susulan isu tunggakan gaji yang membelenggu pasukan sejak liga bermula pada awal tahun ini.

PFAM sudah mengemukakan aduan kepada FAM bagi membantu menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain Kuantan FA.

Jika isu ini berterusan, kes itu kemungkinan besar akan dibawa ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk tindakan selanjutnya.