Berita Asia

Eksklusif: Kini berada di Kuala Lumpur, Jufriyanto tidak sabar untuk aksi Persija vs Persib

Perlawanan di antara Persib Bandung dan Persija Jakarta adalah antara pertembungan yang sentiasa dinanti di Liga Indonesia. Permusuhan di antara dua pasukan ini cukup tegang yang bukan sahaja melibatkan pasukan tetapi juga penyokong.

Namun, bagi pertembungan kali ini, Persib Bandung bakal berdepan Persija tanpa kelibat bekas ketua pasukan mereka, Achmad Jufriyanto yang telah berhijrah ke Kuala Lumpur. Pemain yang terkenal dengan julukan Jupe ini menyatakan dia sememangnya akan merindui pertembungan menentang Persija Jakarta.

“Perlawanan di antara Persib Bandung dan Persija Jakarta memang perlawanan yang sangat menarik. Dua pasukan gergasi dengan atmosfera perlawanan yang cukup berbeza setiap kali berdepan di antara satu sama lain. Sudah pasti saya merindui perlawanan ini.

“Perlawanan ini memang hangat. Bahkan biasanya tahap gila perlawanan ini, seminggu sebelum perlawanan pun sudah ada permainan psikologi oleh pasukan dan juga penyokong. Dalam banyak-banyak perlawanan bertemu Persija, saya paling suka kedua-dua perlawanan pada musim lalu.

Ketika diminta untuk meramal keputusan perlawanan ini, pastinya ramai sebenarnya boleh meneka siapa pilihan Jufriyanto.

“Persija bermain di tempat sendiri, jadi sudah tentu mereka mempunyai motivasi lebih. Persib juga sedang berada dalam prestasi baik selepas memungut tujuh mata daripada tiga perlawanan. Saya tidak mampu meramal siapa akan menang, memang sukar. Tetapi kerana saya pernah bermain di Persib, sudah tentu saya mendoakan kemenangan untuk mereka.”

Perlawanan di antara Persija dan Persib akan berlangsung pada hari Sabtu ini di Stadium Gelora Bung Karno. Satu hari kemudian, Jupe dan rakan sepasukannya di Kuala Lumpur akan berkunjung to Stadium Perak untuk bertembung dengan skuad The Bos Gaurus dalam aksi Liga Super.

The City Boys kini berada di tangga kelapan Liga Super, namun mereka sudah tentu mempunyai momentum yang cukup positif, biarpun gagal mara ke peringkat separuh akhir Piala FA minggu lepas. Skuad Fabio Magrao berjaya mencipta ‘comeback’ yang cemerlang untuk seri 3-3 bersama Selangor, sebelum tewas di peringkat sepakan penalti.