Malaysia AFC Cup

Peluang tipis raih slot kalah mati, JDT tetap mahukan kemenangan ke atas Song Lam

JDT memerlukan sekurang-kurangnya empat gol tanpa balas untuk layak ke pusingan separuh akhir Zon ASEAN Piala AFC apabila berdepan kelab dari Vietnam, Song Lam Nghe An FC pada aksi terakhir Kumpulan H, di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

Ini berikutan kedudukan JDT yang menduduki tempat ketiga dengan tujuh mata tetapi memerlukan bilangan jaringan gol yang besar memandangkan Song Lam Nghe An FC berada dalam kedudukan selesa dengan 10 mata dan hanya perlu seri untuk mara ke pusingan seterusnya.

Walaupun seakan-akan mustahil, namun jurulatih JDT Raul Longhi tetap mahu mencatatkan kemenangan meskipun akan berhadapan dengan perlawanan Liga Super menentang Kelantan pada Sabtu ini.

“Kami tetap turun memburu kemenangan memandangkan perlawanan ini yang terakhir dalam kumpulan dan dalam bola sepak untuk mencari gol yang besar adalah tidak mustahil jika mengikut perancangan yang dibuat.

“Mungkin ada rombakan dalam kesebelasan utama kerana selepas itu JDT akan menentang Kelantan dan ini juga perlawanan penting bagi kami untuk kekal di tangga teratas liga. Apapun, kami tetap fokus pada aksi menentang kelab dari Vietnam itu dahulu,” katanya kepada Berita Harian.

Pada masa yang sama, Longhi juga berharap keadaan cuaca hari ini tidak menjejaskan rentak permainan JDT yang cuba mencari gol awal dalam perlawanan tersebut.

Song Lam Nghe An FC kini berada di tangga kedua selepas mengumpul 10 mata dan bersaing dengan pendahulu kumpulan H, Persija Jakarta yang turut mengumpul 10 mata dan dipisahkan dengan perbezaan jaringan dengan juara Kumpulan F, G dan H yang akan layak secara automatik ke separuh akhir.

Manakala satu lagi slot separuh akhir akan menjadi milik pasukan yang menduduki tempat kedua terbaik dalam ketiga-tiga kumpulan berkenaan.