Ketika menjadi tetamu undangan Jimmy Kimmel! Live, Zlatan Ibrahimovic tidak henti-henti mengeluarkan jawapan-jawapan yang sentiasa membuatkan orang ramai ketawa, namun tingkah laku sombong itu bukan sesuatu yang pelik tentangnya. Dalam banyak jawapan itu, terdapat satu perkara yang menarik. Walaupun tampak yakin, Zlatan menyifatkan dirinya akan ke Piala Dunia pada Jun ini.
Jika orang ramai hanya bergelak apabila dia mengucapkan ‘Piala Dunia tanpanya tidak bermakna apa-apa’, mungkin tawa itu mengandungi perasaan tertanya-tanya, adakah dia akan ke Russia bersama pasukan Sweden dan adakah pengurus pasukan, Janne Anderson, mahu membawanya?
Sudut negatif dan positif
Persoalan ini jelas amat sukar untuk dibincangkan kerana ia bergantung kepada sudut mana kita melihatnya. Harus diakui, kehebatannya di depan gawang masih belum hilang walaupun pada 2017, dia mengalami kecederaan lutut yang serius sehingga menyebabkannya terpaksa berehat lama, bahkan dia sempat sembuh pada akhir tahun lepas.
Penampilannya bersama Los Angeles Galaxy setakat ini membuktikan fakta itu. Tiga gol hasil daripada tiga perlawanan merupakan satu catatan yang bagus. Ia menjadi bukti Zlatan mampu tampil sebagai senjata tambahan buat Sweden agar barisan depan mereka lebih tajam. Itu belum dikira kekuatan mental yang dimiliki. Jika Anderson benar-benar ingin membawanya, masih ada aspek positif yang mampu dijelmakan bekas peledak Juventus ini untuk pasukannya, bukan sekadar ingin bermain di Piala Dunia.
Bagaimanapun, jika dilihat daripada sisi negatif, ia juga bukan sedikit. Skuad Sweden ketika ini bukan pasukan sama sewaktu dikuatkan Zlatan, mudah dijinakkan dan sentiasa mengalami tekanan. Penampilan mereka di kelayakan Piala Dunia juga tidak buruk, apabila muncul pasukan menjaringkan gol paling banyak dalam Kumpulan A dengan 26 jaringan, sebelum menewaskan Itali di play-off untuk mengesahkan tempat di Russia.
Situasi itu adalah peringkat yang gagal dilepasi mereka dalam dua kelayakan sebelum ini, sewaktu masih dikuatkan Zlatan. Mereka gagal melepasi play-off ketika bersama Zlatan. Jika dilihat ketika edisi 2002 dan 2006, Sweden melayakkan diri bukan disebabkan Zlatan, jadi dia bukanlah segalanya.
Malah, Sweden ketika ini bermain sebagai satu pasukan dan tidak lagi hanya bertumpu kepada Zlatan. Perkara itu diakui oleh legenda mereka, Kurt Hamrin, dan penjaga gol mereka ketika ini, Karl-Johan Johnsson. Jika Zlatan muncul, mungkin sistem permainan akan kembali berubah dan pemain-pemain harus menyesuaikan diri semula tatkala masa semakin suntuk.
Kemudian, kita harus melihat semula saat-saat terakhirnya di Manchester United, dimana dia jarang beraksi walaupun tidak cedera. Jose Mourinho membuktikan bahawa Zlatan bukan lagi pilihan utama. Penampilannya di Major League Soccer (MLS) juga dianggap remeh oleh sesetengah pihak. Walaupun ketika ini tahap MLS sudah meningkat, namun ia masih dianggap jauh ke belakang berbanding liga besar di Eropah.
Sensasi terbaru Zlatan
Keadaan ini tentunya mewujudkan perdebatan di antara peminat Sweden dan Zlatan. Namun, jika anda melihat semula tayangan Jimmy Kimmel! Live, kata-kata bekas pemain Malmo itu sangat yakin. Dia hanya menyifatkan dirinya akan ke Russia tetapi tidak menjelaskan sebagai pemain atau penyokong. Bahkan, dia tidak berani untuk menjelaskan lebih lanjut.
Kemungkinan, ini hanya satu sensasi yang dicetuskan Zlatan, kerana sudah menjadi sifatnya melakukan perkara seumpama itu. Media juga terus mendapatkannya untuk bertanya tentang adakah dia akan menyertai pasukan Sweden semula atau tidak di pentas Piala Dunia. Harus diingat, dia baru sahaja berpindah ke Amerika Syarikat untuk meniti karier. Publisiti seperti ini juga mengangkat namanya, sekaligus memberikan kelebihan buatnya.
Tambahan, Zlatan amat sinonim dengan situasi seperti ini. Dia tidak mungkin membuang ego untuk beraksi di Piala Dunia, walaupun dia tidak bersama Sweden sewaktu melayakkan diri, malah tidak dipanggil ketika aksi persahabatan bertemu Chile dan Romania pada Mac lalu.
Zlatan juga tentu sedar bahawa kehadirannya di dalam skuad akan membuatkan Anderson harus kembali mencongak strategi baru kerana sebelum ini pasukannya beraksi tanpa Zlatan. Jadi, jika kesimpulan harus dibuat, kemungkinan legenda ini akan ke Piala Dunia sebagai penyokong.