Malaysia Piala FA Malaysia

Tidak jangka penentuan sepakan penalti, jurulatih Selangor puji pemain Kuala Lumpur

Dengan kelebihan jaringan tiga gol, jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir tidak menjangkakan sama sekali pasukan pihak lawannya Kuala Lumpur menjaringkan tiga gol dalam aksi suku akhir kedua Piala FA sehingga mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti.

Katanya, walaupun keputusan sepakan penalti yang berkesudahan dengan 8-7 akhirnya memihak The Red Giants, kemenangan 3-0 pada perlawanan pertama seolah-olah tidak membawa sebarang makna kepada anak buahnya.

“Kita tidak boleh pandang rendah kepada mana-mana pasukan. Saya tidak menjangkakan perlawanan ini sampai ke penentuan penalti.

“Bukan saya tidak gembira tetapi agak terkejut dengan kebangkitan Kuala Lumpur. Saya memuji Kuala Lumpur kerana sentiasa memberi tekanan, ini pengajaran berguna buat kami,” katanya kepada Berita Harian.

Mengulas lanjut, Nazliazmi juga menegaskan pujian harus diberikan kepada pasukan Kuala Lumpur yang sebenarnya telah pun menewaskan Selangor kalau perlawanan tersebut bukan saingan Piala FA.

“Kami kalah 3-0 dalam tempoh sebenar permainan tetapi ini adalah pertandingan kalah mati, kami masih berpeluang dalam penentuan penalti dan pemain melakukannya dengan baik.

“Pujian harus diberikan kepada Kuala Lumpur,” katanya.

Sementara itu, penolong jurulatih Kuala Lumpur, Chong Yee Fat menganggap pemainnya telah mempamerkan aksi yang cemerlang cuma nasib tidak menyebelahi mereka.

“Kami berasa terganggu, bukannya kecewa mahupun kesal. Kami telah membuat persiapan dan perancangan untuk mendapatkan jaringan awal berjaya.

“Kami cuma gagal membunuh permainan. Dalam penentuan penalti, ia lebih kepada mencuba nasib, apa sahaja boleh berlaku,” katanya.