Asia Malaysia

Persija Jakarta berdepan dilema utamakan liga atau aksi bertemu JDT

Nampaknya isu yang sama bakal menimpa Persija Jakarta.

Dalam pertemuan pertama mereka dengan Johor Darul Ta’azim di Piala AFC, mereka terpaksa merehatkan pemain kerana perlu beraksi dalam perlawanan akhir Piala Presiden beberapa hari selepas itu.

Kini, nampaknya masalah sama akan berulang lagi, cuma kali ini Persija perlu berfikir sama ada untuk mendahulukan perlawanan Piala AFC atau Liga 1 Indonesia yang sedang berlangsung.

Persija Jakarta akan bertemu PSMS Medan di Stadium Teladan pada Jumaat ini sementara aksi bertemu JDT akan berlangsung pada 10 April nanti di Stadium Gelora Bung Karno.

Dalam erti kata lain, tidak termasuk hari perlawanan, Persija cuma mempunyai tiga hari untuk melakukan persiapan untuk bertemu JDT selepas beraksi dalam perlawanan liga menentang PSMS Medan.

Ketua jurulatih Persija Jakarta, Stefano Cugurra Teco ketika ditemubual oleh Kompas.com menyatakan bahawa dia mahukan mata maksimum dalam kedua-dua perlawanan tersebut.

“Liga masih panjang. Kita tidak mahu kehilangan mata. Kita mahukan mata dalam setiap perlawanan, tetapi menentang JDT lebih penting kerana kita cuma tinggal dua perlawanan lagi, perlawanan menentang JDT akan menentukan nasib kami.”

Persija Jakarta kini berada di tangga kedua liga selepas memungut empat mata daripada dua perlawanan. Bagi saingan Piala AFC pula, pasukan yang terkenal dengan jolokan Macan Kemayoran ini gah di puncak kumpulan H menerusi perbezaan gol selepas berkongsi 7 mata dengan Song Lam Nghe An dan JDT.

JDT menewaskan Persija 3-0 dalam perlawanan pertama mereka di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin menerusi jaringan Hazwan Bakri, Jorge Pereyra Diaz dan Safawi Rasid.

Situasi mungkin sedikit berbeza kali ini dengan Persija bakal menurunkan skuad terkuat mereka termasuk penyerang sensasi Marko Simic sambil dibantu sorakan penyokong kuat mereka sementara JDT pula kehilangan Jorge Pereyra Diaz.