AFC Cup

JDT-Persija hidupkan semula perseteruan Malaysia-Indonesia di Asia Tenggara

Bagai irama dan lagu, bagai aur dengan tebing. Begitulah boleh dikatakan mengenai betapa pasukan dari Malaysia dan Indonesia memerlukan kehadiran masing-masing.

Melihat aksi Johor Darul Ta’azim menentang Persija Jakarta semalam, boleh kita katakan bahawa Piala AFC akhirnya mempunyai satu lagi perkara yang membuatkan ianya bertambah menarik.

Bukan mahu menafikan kehadiran pasukan dari negara lain di rantau Asean mahupun Asia, tetapi perseteruan di antara Malaysia dan Indonesia dalam bola sepak sebenarnya bagaikan rempah yang membantu menyedapkan masakan.

Persamaan dari segi bahasa dan juga kegilaan penyokong dari kedua-dua negara ini membuatkan perlawanan tersebut menjadi lebih sekadar dari perlawanan bolasepak. Kita boleh lihat bagaimana di Sukan SEA yang lalu, pertembungan di antara Malaysia dan Indonesia bagai ditunggu-tunggu dan kedua-dua pasukan serta penyokong tidak mahu pasukan mereka tewas.

Pertembungan Malaysia-Indonesia di peringkat Asean boleh diibarat seperti Argentina-Uruguay di Amerika Selatan. Lihat saja kegilaan yang berlaku ketika Piala AFF 2010 dan Sukan SEA 2011. Bagi Malaysia dan Indonesia, dalam banyak-banyak pasukan, mereka tidak mahu tewas kepada seteru kuat mereka ini.

Jadi, dengan kehadiran semula kelab Indonesia terutamanya pasukan-pasukan tradisi seperti Persija Jakarta, Persib Bandung atau Persebaya Surabaya serta pasukan dari Malaysia seperti JDT, Selangor, Kelantan atau Kuala Lumpur amat penting untuk membantu menghidupkan semula perseteruan di kejohanan bolasepak peringkat Asean dan Asia.

Bayangkan pertembungan di antara Persija menentang Selangor, dua pasukan yang pernah disertai Bambang Pamungkas. Atau pasukan Semen Padang menentang Negeri Sembilan, boleh menjadi derby Minangkabau.

Selepas perlawanan di antara Persija dan JDT yang berlangsung malam semalam di Larkin, pastinya kita boleh menantikan apa yang akan terjadi ketika JDT pula berkunjung ke kandang Macan Kemayoran nanti.