Liga Malaysia

Dua pemain Sarawak ditahan SPRM

Dua pemain Sarawak telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ekoran dakwaan mengatur perlawanan ketika pertemuan di antara Sarawak menentang Felcra FC yang lalu.

Menurut laporan Sarawakvoice, dua suspek yang ditahan adalah pemain senior berusia 28 dan 30 tahun.

Selain dua pemain berkenaan, turut ditahan adalah seorang suspek lelaki yang dipercayai ‘bookie’. Kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009. Jika sabit kesalahan, suspek boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman penjara tujuh tahun.

Dalam perlawanan yang berlangsung pada hari Sabtu lalu, Sarawak tewas 3-2 walaupun mendahului 2-0 sepanjang perlawanan. Gol Sarawak dijaringkan oleh Bobby Gonzales pada minit ke 23 dan Mateo Roskam pada minit ke-34.

Namun, penyerang import Felcra, Anselmo Arruda Cassagrande menjaringkan hatrik pada minit ke-88, 90+2 dan 90+3 untuk membantu Felcra menang.