Luar Negara Eropah

Dani Alves sah menjadi pemain bolasepak yang memiliki trofi terbanyak

Setiap individu yang memilih bola sepak sebagai karier pastinya mengidamkan pencapaian hebat, seperti pemain utama buat sesebuah pasukan dan meraih banyak kejuaraan.

Apa yang menarik, ada seorang pemain bola sepak yang mampu meraih kesemua keinginan yang disebutkan di atas. Pemain bola sepak yang menjadi pilihan utama dalam setiap pasukan yang disertai itu adalah Dani Alves.

Beraksi di bek kanan, pemain berusia 34 tahun ini sering menjadi pilihan utama buat skuad kebangsaan Brazil atau setiap pasukan kelab yang disertai iaitu Bahia, Sevilla, Barcelona, Juventus dan Paris Saint-Germain (PSG).

Lebih menarik, setiap pasukan itu disertakan dengan pelbagai trofi kejuaraan. Terbaru, dia telah membantu PSG menjulang Piala Liga Perancis selepas menewaskan AS Monaco 3-0 di final pada awal pagi Ahad (1 April 2018).

Kejayaan itu bermakna Alves telah memutlakkan dirinya sebagai pemain yang mempunyai deretan piala terbanyak dengan 37 kejuaraan. Ia adalah enam trofi liga dari LaLiga dan Serie A, tujuh gelaran piala domestik (Piala Itali, Piala Liga Perancis dan Piala Raja Sepanyol), enam piala super domestik (Piala Super Sepanyol dan Piala Juara Perancis), satu piala tempatan (Copa do Nordeste), tiga gelaran Liga Juara-Juara Eropah, dua Piala UEFA/Liga Europa, empat Piala Super Eropah, dua Piala Konfederasi dan satu Copa America.

Kejayaan yang melimpah itu membuatkannya tidak berdepan masalah untuk mempunyai almari trofi sendiri. Lebih lucu, jumlah trofi yang diraih Alves ketika ini melebihi jumlah keseluruhan kejayaan yang dijulang PSG, selepas gergasi Perancis itu memiliki 35 piala daripada semua kejohanan.

Lebih luar biasa, Alves berpeluang untuk menambah jumlah itu kerana Les Parisiens kini sedang mengungguli takhta Ligue 1 dan berada di separuh akhir Piala Perancis bagi musim ini. Mereka menjadi pilihan untuk menjulang trofi itu.

Jika belum cukup, pemain kelahiran Juazeiro ini juga menyimpan satu impian besar iaitu menakluk Piala Dunia di Russia pada tahun ini bersama skuad Brazil yang akan berlangsung pada Jun ini.