Kolum Malaysia

Datuk Hamidin calon terbaik untuk menggantikan TMJ sebagai Presiden FAM?

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengesahkan bahawa dia akan bertanding untuk jawatan Presiden FAM pada Kongres FAM ke-54 yang dijadualkan berlangsung pada bulan Julai depan.

Pengumuman ini dibuat selepas Mesyuarat Khas Pertama Exco FAM di Kelana Jaya tengah hari tadi, di mana Exco FAM turut sebulat suara menerima perletakan jawatan Tunku Ismail, yang membuat keputusan untuk meninggalkan organisasi tersebut hanya selepas satu tahun sebagai Presiden.

Timbalan Presiden, Datuk Wira Yusoff Mahadi akan menjadi Pemangku Presiden sehingga bulan Julai ini, namun Datuk Hamidin telahpun menerima pencalonan dan sokongan rasmi daripada Datuk Wira, dan ahli-ahli Exco FAM yang lain untuk mengambil alih posisi tersebut selepas bulan Julai.

Proses pencalonan akan terus dibuka sehingga bulan Mei, namun Datuk Hamidin kini berada di landasan hadapan untuk menjadi Presiden seterusnya atas beberapa sebab. SU Agung FAM itu bukan sahaja menerima sokongan penuh daripada Exco FAM, malah beliau turut menerima pengesyoran daripada Tunku Ismail sendiri, baru-baru ini.

“Jika kita lihat FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) juga, presiden datang dalam kalangan setiausaha agung kerana mereka amat memahami sistem pentadbiran bola sepak. Saya juga mempunyai hubungan yang amat baik dengan Datuk Hamidin dan ini akan memudahkan lagi kerjasama di antara FAM dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

“Jika Datuk Hamidin dipilih sebagai Presiden FAM oleh ahli gabungan, saya akan memberi sokongan penuh kepada beliau dan memastikan pendapatan FAM terjamin. Saya berharap semua ahli gabungan akan menyokong Datuk Hamidin sebagai Presiden FAM,” kata Tunku Ismail.

Perkara ini amat penting kerana hubungan di antara FAM dan MFL perlu sentiasa berada di landasan yang positif untuk proses penambahbaikan bolasepak Malaysia di peringkat domestik dan peringkat antarabangsa. Sekiranya Exco FAM gembira dengan corak kepimpinan Datuk Hamidin dan Tunku Ismail selesa bekerjasama dengan SU Agung FAM itu, maka sudah tentu dia menjadi calon terbaik untuk posisi tersebut.

Antara nama lain yang dipetik oleh penyokong Harimau Malaya baru-baru ini adalah Tan Sri Tony Fernandes dan juga Tan Sri Vincent Tan. Walaupun kedua-dua individu ini cukup berpengalaman dari segi bisnes, dan mempunyai pelbagai kenalan antarabangsa, mereka tidak cukup mengenali dan memahami bolasepak Malaysia secara menyeluruh untuk menjadi ketua pentadbir sebuah badan yang mengawal sistem bolasepak secara menyeluruh.

Malah, kedua-dua individu tersebut juga tidak mengenali ahli-ahli Exco FAM dengan rapat – hubungan ini penting kerana seorang Presiden hanya boleh menerapkan polisi atau idea yang progresif sekiranya individu tersebut mempunyai hubungan rapat dengan ahli-ahli Exco FAM.

Satu lagi sebab yang menjadikan Hamidin calon paling tepat adalah momentum yang telah dibina oleh Tunku Ismail sepanjang satu tahun lepas. Banyak perubahan struktur yang dilakukan oleh Tunku Ismail, diperhatikan dengan rapat oleh Datuk Hamidin. Beliau memahami perubahan-perubahan ini dengan rapat dan mengenali aspirasi jangka-masa panjang Tunku Ismail untuk bolasepak Malaysia. Sekiranya Datuk Hamidin menjadi Presiden FAM, dia mampu meneruskan legasi yang dibina oleh Tunku Ismail setakat ini, dan memastikan momentum positif tersebut terus membesar.

Hakikatnya adalah, bolasepak Malaysia sudah terumbang ambing untuk sekian lama, sebelum perubahan yang dibawa oleh Tunku Ismail mencetus nafas baru bagi penyokong. Tidak wajar untuk kita membazirkan momentum ini dengan calon lain, terutamanya jika kita sudah mempunyai calon yang mempunyai sokongan daripada barisan ‘stakeholder’ terpenting di tanah air.