Luar Negara Eropah

Selepas gagal memberi impak di Indonesia, Carlton Cole umum persaraan

Bekas pemain Persib Bandung, Carlton Cole mengumumkan persaraannya daripada bolasepak pada usia 34 tahun.

Carlton Cole, yang juga pernah menyarung jersi England, merupakan antara pemain yang bergelar ‘marquee signing’ bersama Michael Essien di Persib Bandung ketika Liga 1 mula diperkenal pada musim lalu.

Namun, aksinya bersama Persib dikritik hebat selepas sekadar beraksi dalam lima perlawanan tanpa jaringan. Ekora prestasi hambar itu, Cole dilepaskan oleh Persib.

Bekas pemain West Ham dan Chelsea itu mengumumkan persaraannya menerusi laman Instagram peribadinya.

“Dalam bolasepak, ada pepatah mengatakan bahawa badan anda akan memberitahu bila masanya untuk berhenti bermain dan fokus perkara baru dalam hidup. Untuk saya, masanya adalah sekarang! Ianya satu keputusan yang sudah lama saya fikirkan sejak akhir-akhir ini. Ianya satu keputusan yang sukar, tetapi bersama keluarga, saya sudah memutuskan untuk bersara.”

Biarpun prestasinya tidak begitu bagus di Persib, tetapi tidak dapat dinafikan, Carlton bersama pemain-pemain ‘marquee signings’ seperti Essien, Odemwingie, Sissoko dan Zokora telah membantu memperkenal bolasepak Indonesia kepada dunia.

Dengan kerjayanya bermain di kelab-kelab seperti Chelsea, West Ham dan Celtic, Cole boleh bersara dengan tenang dan fokus terhadap perkara-perkara baru selain bolasepak.