Luar Negara Eropah

Lebih sejuta rakyat Mesir mahu Salah menjadi Presiden

Mohamed Salah muncul wira buat Liverpool sewaktu menewaskan Crystal Palace di laman sendiri minggu lepas. Dalam masa sama, dia juga menjadi pujaan kebanyakan rakyat Mesir. Malah, mereka mahukan Salah menjadi presiden buat negara mereka!

Mesir baru sahaja menjalankan pilihanraya umum untuk memilih presiden baru. Mereka harus memilih sama ada Abdel-Fattah Al-Sisi atau Moussa Mustafa. Bagaimanapun, lebih daripada sejuta rakyat Mesir telah menyalahgunakan kertas undian mereka untuk menulis nama Salah!

Seperti yang dijelaskan The Economist, Al-Sisi memenangi undian sebanyak 92 peratus. Namun, lebih daripada sejuta rakyat mereka menggunakan kuasa demokratik untuk menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap kedua-dua calon itu. Sebagai ganti, mereka telah memotong dua nama calon itu dan digantikan dengan nama Salah.

Populariti Salah di Mesir pastinya naik mendadak selepas penampilan yang menakjubkan daripadanya untuk musim 2017/18. Pemain Liverpool itu telah menjaringkan 37 gol hasil daripada 41 penampilan dalam semua kejohanan. Sumbangannya buat Liverpool membolehkan The Reds layak ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah dan berada di kelompok teratas Liga Perdana Inggeris.

Dia juga menyumbat 33 gol dalam 55 aksi bersama skuad kebangsaan Mesir. Selain itu, tanpa diduga dia muncul wira buat Mesir kerana sepakan penaltinya membolehkan mereka layak ke pentas Piala Dunia 2018. Pemain berusia 25 tahun itu menyumbat gol tersebut ketika mereka mengatasi Congo 2-1, membolehkan Mesir pertama kali ke Piala Dunia dalam masa 28 tahun.

Selain itu, jaringan ketika bertemu Crystal Palave juga membolehkannya menyamai catatan rekod yang dimiliki Robin Van Persie dan Cristiano Ronaldo, iaitu menyumbat gol dalam 21 aksi berbeza. Jumlah 29 jaringan yang diraih setakat ini tentunya sukar dikejar pesaing terdekat, Harry Kane, yang mengutip 24 gol dan sedang dilanda kecederaan. Pemain beragama Islam yang taat ini juga telah meletakkan namanya di Liverpool sebaris legenda-legenda lain seperti Robbie Fowler, Michael Owen dan Luis Suarez.

Koleksi gol yang terus bertambah di England serta Eropah membuatkannya layak untuk mencabar anugerah Kasut Emas Eropah. Justeru, memang patut rakyat Mesir sangat berbangga dengannya. Apa yang pasti, bekas pemain AS Roma dan Chelsea ini lebih popular daripada ahli politik serta pemerintah di Mesir.