Luar Negara Berita

Belum beraksi untuk Lechia Gdansk, Egy Maulana jadi sasaran Benfica pula?

Walaupun masih belum membuat sebarang penampilan untuk Lechia Gdansk, bintang muda Indonesia, Egy Maulana Vikri kini dikaitkan pula dengan gergasi Portugal, Benfica.

Egy yang baru sahaja menyertai kelab Poland itu dijadualkan beraksi pada bulan Julai nanti.

Media Portugal, Record, menyatakan bahawa Egy berkemungkinan besar akan dipinjamkan ke Benfica pada musim hadapan dan jika menunjukkan prestasi bagus, kelab Portugal itu akan mendapatkannya secara tetap.

Egy turut dikhabarkan akan menimba pengalaman bersama skuad remaja Benfica, Eagles Junior selama satu musim sebelum dinilai jika benar-benar layak beraksi bersama skuad senior.

Pemain berusia 17 tahun ini dikatakan bakal menjadi bintang buat Indonesia satu hari nanti. Dengan Sukan Asia dan Piala AFF Suzuki pada tahun ini, mungkin Egy boleh membawa pengalamannya beraksi di Eropah untuk membantu Indonesia di pentas antarabangsa.