Luar Negara

United akan bermain untuk seri lagi – Dejan Lovren

Perseteruan paling panas di Liga Perdana Inggeris akan berlangsung Sabtu ini. Perlawanan di antara Manchester United menentang Liverpool ini tidak pernah lari dari kontroversi dan juga sindir menyindir di kalangan pengurus, pemain hinggalah penyokong.

Nampaknya pemain pertahanan Liverpool, Dejan Lovren telah memberikan serangan yang pertama terhadap Manchester United. Pemain Croatia itu menyindir tindakan Manchester United yang bermain secara bertahan ketika di Anfield dan menyatakan Red Devils akan sekali lagi bermain untuk seri.

“Kali terakhir mereka di sini, mereka bermain secara bertahan. Jadi, kita lihat apa akan berlaku nanti.

“Saya rasa mereka akan melakukannya lagi. Mereka perlukan mata itu.

“Bagi mereka, satu mata mungkin bagus, tetapi untuk kami, kami tidak akan bermain untuk mendapatkan satu mata. Kami akan berikan yang terbaik dan bermain seperti biasa – dengan menyerang. Jadi kita nantikan.”

Liverpool telah menjaringkan lebih banyak gol berbanding Manchester United setakat ini dengan trio Firmino, Mane dan Salah telah menjaringkan 45 gol. Pemain Mesir, Mohamed Salah paling menyerlah dengan 24 gol.

Bagi Manchester United pula, mereka akan mengharapkan Lukaku mampu menembusi gawang Liverpool dan menambah kepada 14 jaringannya di Liga Perdana Inggeris setakat ini.