Luar Negara

Kesebelasan terbaik jika 11 bekas pemain Atletico Madrid digandingkan

Atletico Madrid adalah sebuah kelab yang cukup unik kerana mereka berjaya mengekalkan prestasi cemerlang di bawah Diego Simeone, walaupun terpaksa menjual ramai pemain berstatus bintang sepanjang 6-7 tahun lepas.

Selepas Fernando Torres meninggalkan mereka pada tahun 2007, ramai yang berpendapat Atletico akan bergelut dengan prestasi selepas itu. Namun, mereka berjaya membawa masuk Sergio Aguero untuk menggantikan penyerang Sepanyol itu. Apabila Aguero berpindah ke Manchester City? Radamel Falcao pula ditandatangani untuk mengemudi jentera serangan Atletico.

Situasi yang sama boleh dilihat di bahagian penjaga gol. Tiga penjaga gol terbaik di dunia buat masa ini sedang bermain atau pernah bermain untuk Atletico Madrid pada suatu masa dahulu – Jan Oblak, Thibaut Courtois dan juga David De Gea.

Jadi, cuba bayangkan jika Atletico Madrid tidak melepaskan mana-mana pemain ini? Berikut adalah kesebelasan terbaik jika 11 bekas pemain Los Rojiblancos digandingkan

Penjaga Gol: DAVID DE GEA

Atletico Madrid tidak pernah mengalami sebarang masalah di posisi penjaga gol. Selepas mereka melepaskan David De Gea, Thibaut Courtois menjadi sandaran mereka. Kini, Jan Oblak mula menjaga gawang gol Atletico dengan cemerlang. Tetapi, De Gea berkembang menjadi penjaga gol terbaik di dunia selepas meninggalkan Vicente Calderon.

Pertahanan: JAVI MANQUILLO

Suatu masa dahulu, Manquillo dilabel sebagai bakal pengganti Juanfran di Atletico Madrid. Namun keputusannya untuk meninggalkan Vicente Calderon tidak membuahkan hasil yang positif - Manquillo gagal menyerlah di Liverpool, dan sempat bermain untuk Marsille dan Sunderland sebelum menyertai skuad Rafael Benitez di Newcastle United.

Pertahanan: TOBY ALDERWEIRELD

Meskipun pertahanan Atletico Madrid selalu kental, tak salah untuk anda membayangkan jika Toby Alderweireld digandingkan dengan Diego Godin. Siapa yang mampu merobek pertahanan tersebut? Selepas satu tahun di Atletico, Alderweired berpindah ke Southampton, sebelum dibawa masuk ke Tottenham Hotspur.

Pertahanan: JOAO MIRANDA

Salah satu sebab Atletico berjaya menjadi juara La Liga beberapa tahun lepas adalah kekuatan barisan pertahanan mereka, di mana Joao Miranda berjaya memupuk kesefahaman yang bagus dengan Diego Godin. Gandingan ini turut membantu Atletico mara ke final Liga Juara-Juara Eropah dua kali dalam tiga tahun berbeza. Kini, Miranda bermain untuk Inter Milan di pentas Serie A

Pertahanan: THEO HERNANDEZ

Biarpun membesar di akademi Atletico Madrid, Theo Hernandez menyertai Real Madrid pada musim panas lepas dalam perpindahan yang jelas tidak diterima dengan positif oleh penyokong Los Rojiblancos. Selepas tampil dengan aksi cemerlang untuk skuad Atletico Madrid B sepanjang musim 2015/2016, Theo Hernandez menyertai Alaves pada musim seterusnya, dan berjaya membantu mereka mara ke final Piala Copa del Rey.

Tengah: RAUL GARCIA

Walaupun tidak sepopular Andres Iniesta atau Xavi Hernandez di Sepanyol, Raul Garcia merupakan antara pemain paling penting dalam skuad Atletico yang berjaya menjadi juara La Liga pada tahun 2013/2014. Malah, dia turut memecahkan rekod Luis Aragones untuk menjadi pemain Atletico Madrid dengan penampilan terbanyak di pentas Liga Juara-Juara Eropah, sebelum berhijrah ke Atletico Bilbao.

Tengah: ARDA TURAN

Situasi Arda Turun memang sedikit menyedihkan. Ketika dia bersama Atletico, Turan sering digeruni oleh pertahanan pasukan lawan. Walau bagaimanapun, kariernya menjunam secara mendadak selepas dia meninggalkan Atletico untuk menyertai Barcelona pada tahun 2016. Selepas gagal menyerlah di Nou Camp, Turan kini bermain untuk pasukan İstanbul Başakşehir di Liga Turki.

Penyerang: DAVID VILLA

Satu lagi posisi yang tidak menjadi masalah buat Atletico Madrid adalah posisi penyerang. Semenjak pemergian David Villa pada tahun 2007, Atletico sentiasa berjaya mencari pemain yang berkaliber tinggi untuk mengisi posisi tersebut, termasuk David Villa. Walaupun hanya bermain untuk satu musim, Villa berjaya mencetak 13 gol dalam 36 penampilan pada musim 2013/2014.

Penyerang: SERGIO AGUERO

Selepas Fernando Torres berpindah ke Liverpool pada tahun 2007, penyerang yang menjadi sandaran baru mereka adalah Sergio Aguero. Bintang Argentina ini meledak lebih 100 gol untuk Los Rojiblancos, sebelum berpindah ke Manchester City di England. Kini, dia merupakan antara penyerang paling berbisa di dunia, dan terus memainkan peranan yang besar di dalam skuad City yang sedang mendahului pentas Liga Perdana Inggeris.

Penyerang: RADAMEL FALCAO

Apabila Aguero dijual ke Manchester City, tindakan seterusnya untuk Atletico adalah untuk membawa masuk Radamel Falcao daripada FC Porto. Dalam masa dua tahun, Falcao membantu Atletico menjuarai Europa League dan berjaya menjaringkan 52 gol dalam 68 penampilan. Namun, Falcao mula bergelut dengan prestasi selepas mengalami kecederaan serious pada tahun 2013, dan dia kini bermain untuk Monaco, selepas gagal menyerlah bersama Manchester United dan Chelsea baru-baru ini.

Penyerang: MARIO MANDZUKIC

Mandzukic dibawa ke Vicente Calderon sebagai pengganti Diego Costa, apabila penyerang itu dilepaskan ke Chelsea. Dan biarpun dia mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan corak taktikal Diego Simeone, Mandzukic akhirnya sempat menjaringkan 12 gol dalam 28 perlawanan, sebelum berhijrah ke Serie A untuk menyertai Juventus.