Liga Super Malaysia

Rasmi: Mahali Jasuli akan dipinjamkan ke PKNS untuk satu musim

Johor Darul Ta’azim telah mengumumkan bahawa pemain pertahanan mereka, Mahali Jasuli akan dipinjamkan ke PKNS FC untuk satu musim.

Bekas bintang Selangor itu akan kembali beraksi di Stadium Shah Alam selepas jurulatih JDT, Ulisses Morais membuat keputusan untuk menolak nama Mahali daripada skuad rasmi Southern Tigers buat musim 2018.

“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) bersetuju untuk menghantar Mahali Jasuli ke kelab PKNS sebagai pemain pinjaman selama setahun. Kami mengucapkan selamat maju jaya dan mendoakan yang terbaik buat beliau,” kata JDT, melalui kenyataan yang dikeluarkan di laman rasmi Facebook mereka.

Pemain yang berusia 28 tahun itu mula terkenal apabila dilantik sebagai kapten skuad Harimau Muda pada tahun 2012. Tahun seterusnya, dia berhijrah ke Selangor, di mana Mahali berkembang menjadi antara bek kanan yang terbaik di Malaysia.

Pada tahun 2014, Mahali membuat keputusan untuk berhijrah ke Johor DT dan terus menjadi pemain utama di bahagian pertahanan mereka. Dia sudah membantu JDT memenangi empat gelaran Liga Super setakat ini, selain turut menjadi juara Piala AFC pada tahun 2015.