Liga Super Malaysia

Durakovic pertahankan Bahadoran, mahu lihat peminat Bos Gaurus beri sokongan

Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic telah meminta peminat Perak untuk memberi masa dan sokongan kepada bintang baru mereka, Misagh Bahadoran.

Kapten skuad kebangsaan Filipina itu dikecam oleh peminat Perak baru-baru ini selepas menunjukkan aksi yang hambar dalam dua perlawanan persahabatan mereka di Lumut. Bagi Durakovic, perkara itu tidak adil kerana Bahadoran masih sedang menyesuaikan diri bersama skuad Bos Gaurus.

“Saya rasa tindakan itu (mengecam) tidak patut. Sebagai penyokong mereka sepatutnya beri sokongan dan galakkan kepada pemain itu. Memang mudah untuk mengkritik dan cari kesalahan orang,” kata Durakovic, menurut laporan Berita Harian.

“Harus ingat dia bukan calang-calang pemain kerana Bahadoran adalah kapten pasukan kebangsaan Filipina dan penjaring terbanyak pasukan lamanya. Dia baru menyertai pasukan tidak sampai tiga minggu dan sedang membuat penyesuaian dengan rakan dan pasukan serta cuaca dan keadaan sekeliling.

“Berilah peluang dan masa untuk dia mendapat persefahaman dan keserasian. Saya merayu kepada penyokong supaya membantu pemain saya ini bukannya menjatuhkan moral dan maruah mereka,” tambah jurulatih yang berasal daripada Australia itu.

Musim lepas, Bahadoran berjaya memainkan peranan yang penting untuk membantu Global FC menjadi naib juara Philippines Football League (PFL).