Bekas jurulatih Belanda dan Arab Saudi, Bert van Marwijk telah dilantik sebagai ketua jurulatih baru Australia untuk kempen Piala Dunia yang bakal berlangsung di Russia pada bulan Jun ini.
Van Marwijk dibawa masuk untuk menggantikan Ange Postecoglou, yang meletak jawatan sejurus selepas berjaya membantu Australia menewaskan Honduras dalam pusingan play-off dan sekaligus melayakkan diri ke Russia 2018.
Menurut sebuah kenyataan yang dikeluarkan, Pengerusi Federasi Bolasepak Australia (FFA), Steven Lowy berkata: “Ini adalah keputusan yang bagus buat bola sepak Australia. Beliau mengetahui banyak perkara tentang pasukan kami dan bagaimana kami bermain kerana dia membuat kajian dengan rapat sebagai jurulatih pasukan lawan pada peringkat kumpulan (kelayakan Piala Dunia).
“Pengalaman ini menjadikannya pilihan yang sesuai. Menerusi Bert van Marwijk, kami mempunyai jurulatih yang boleh mencapai perkara yang hebat bersama pasukan ini,” tambah Lowy.
Sebelum ini, Van Marwijk pernah membantu Belanda mara ke final Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, selain turut menjadi ikon penting dalam kejayaan Arab Saudi melayakkan diri mereka ke pentas Piala Dunia 2018.