2018 merupakan tahun yang cukup bersejarah untuk sukan bola sepak di Malaysia.
Buat kali pertama, setiap perlawanan Liga Super Malaysia boleh disaksikan melalui platform iflix, peneraju hiburan terkemuka dunia untuk pasaran baharu. Selain itu, sebuah lagi syarikat yang berpangkalan di Kuala Lumpur, SportsFix, turut mencipta sejarah apabila berjaya mendapatkan hak penyiaran Serie A untuk Malaysia.
Kedua-dua syarikat ini menawarkan konten sukan menggunakan konsep OTT, sebuah idea yang bakal merevolusikan dunia sukan dalam bulan dan tahun yang akan datang. Memandangkan konsep ini baru sahaja tiba di Malaysia- tidak aneh bahawa ramai peminat masih keliru dengan keputusan FMLLP untuk bekerjasama dengan sebuah syarikat penstriman, berbanding dengan syarikat televisyen tradisional
Walau bagaimanapun, konsep OTT ini sudah lama menunggu masa untuk menceburi dunia sukan, dan kini, ia bakal memberi cabaran sengit kepada budaya televisyen tradisional di seluruh dunia, termasuk Malaysia. Untuk memahami konsep OTT dengan lebih lanjut, baru-baru ini, kami menemu bual Ketua Pegawai Eksekutif SportsFix, Carl Kirchoff, seorang individu yang mempunyai pengalaman luas di dalam dunia OTT.
Berikut adalah kandungan temu bual tersebut:
REVOLUSI 'OTT'
Apa maksud OTT? Ini antara soalan yang selalu kami terima dari pembaca. Untuk menjelaskan perkara ini dengan lebih lanjut, ini penerangan yang diberikan oleh Carl Kirchoff, Ketua Pegawai Eksekutif Sportsfix.
“Maksud ‘OTT’ adalah ‘Over The Top Television’ iaitu proses perkongsian konten digital tanpa menggunakan sebarang ‘set-top box’ atau perkhidmatan kabel televisyen. Secara lazimnya, konsep ini memberi peluang kepada pengguna untuk menyaksikan sebarang konten menggunakan wifi atau data yang diberikan oleh syarikat telco.
“Tetapi, konsep ini bukanlah suatu perkara yang baru. OTT telah wujud untuk lebih 20 tahun, bermula dengan Netflix di Amerika Syarikat, 20 tahun lepas. Kini, konsep ini sedang digunakan oleh pelbagai syarikat dan organisasi, termasuk iflix dan juga Sportsfix di Malaysia.”
NETFLIX/IFLIX vs SPORTSFIX
Walaupun konsep OTT bukan suatu perkara yang baru, idea ini baru sahaja mula meletup di Malaysia, terutamanya selepas kemunculan iflix dan juga selepas Netflix mula menerima langganan pengguna di Malaysia. Tetapi, Carl turut menerangkan bahawa terdapat perbezaan ketara di antara platform-platform seperti iflix dan Netflix, apabila dibandingkan dengan Sportsfix.
“Kebanyakan platform penstriman pada masa ini menawarkan konten daripada dunia hiburan. Mungkin iflix sudah mula menceburi dunia sukan, tetapi kebanyakkan daripada konten mereka tetap berasaskan dunia hiburan.
“Sportsfix pula mempunyai aspirasi yang berbeza. Kami mahu menjadi sebuah ‘virtual stadium’, iaitu platform untuk anda menyaksikan semua aksi sukan kegemaran anda secara langsung. Dari segi status quo, anda perlu menggunakan pelbagai platform untuk mendapatkan konten sukan kegemaran anda.
“Harapan kami adalah untuk membina platfom untuk anda mendapatkan apa-apa konten berkenaan sukan kegemaran anda. Buat masa sekarang, kami menawarkan Bola Sepak, Bola Keranjang, Kriket dan juga MMA,” kata Carl.
KELEBIHAN UNIK KONSEP 'OTT'?
Antara soalan yang kami tujukan kepada Carl adalah ciri-ciri unik OTT yang menjadikannya lebih istimewa, berbanding dengan konsep televisyen kabel yang traditional. Berikut adalah jawapan yang diberi oleh Carl.
“OTT mempunyai pelbagai kelebihan jika dibandingkan dengan televisyen biasa. Antaranya adalah aspek digital yang memberi peluang kepada pengguna untuk menyaksikan sebarang konten, termasuk penstriman aksi bolasepak, di mana-mana sahaja, menggunakan internet. Malah, anda boleh memilih untuk menyaksikan lebih daripada satu perlawanan.
“Selain itu, setiap platform OTT menawarkan konten berkualiti yang sama seperti apa yang anda lihat di televisyen. Perbezaannya? Anda tidak perlu membayar harga yang mahal untuk melanggan perkhidmatan televisyen kabel."
ASIA TENGGARA LOKASI YANG TEPAT UNTUK 'OTT'
Walaupun OTT nampak seperti idea yang melibatkan teknologi yang cukup canggih, konsep tersebut cukup mudah dan itu meletakkan Asia Tenggara di sebuah posisi yang cukup unik. Walaupun kebanyakan negara-negara di rantau ini masih menerima gelaran ‘Third World’, kadar penembusan telefon pintar di Asia Tenggara menjadikan OTT sebuah konsep yang cukup sesuai.
“Kadar penembusan telefon pintar di Asia Tenggara cukup tinggi dan itu memainkan peranan yang penting di belakang kerjasama kami dengan syarikat-syarikat telco di rantau ini, termasuk Malaysia. Sebelum ini, konten berkenaan sukan hanya boleh didapati melalui televisyen.
“Kini, platform seperti Sportsfix dan iflix sudah mula mendorong lebih ramai orang untuk menggunakan data yang disediakan oleh telco masing-masing. Harapan kami adalah untuk terus bekerjasama dengan syarikat telco untuk mengurangkan kos data, supaya lebih ramai orang diberi akses kepada konten sukan yang mereka gemari,” jelas Carl.
MALAYSIA BERADA DI LANDASAN YANG TEPAT?
Carl turut berpendapat bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang unik, jika dilihat dari perspektif industri media kerana satu syarikat telah berjaya mendominasi industri televisyen kabel buat jangka masa yang lama. Namun, monopoli tersebut mungkin dileburkan oleh golongan muda negara, yang lebih selesa dengan konsep OTT
“Golongan tua di Malaysia masih lebih selesa dengan televisyen kabel, biarpun syarikat tersebut meletakkan harga yang tinggi. Tetapi jika kita lihat dengan lebih teliti, generasi muda Malaysia sudah mula menolak televisyen kabel.
"Malah, kebanyakkan mereka memilih untuk tidak melanggan perkhidmatan tersebut dan mereka lebih selesa dengan konsep OTT. Trend ini meyakinkan syaritkat-syarikat seperti Sportsfix dan iflix untuk terus melabur demi membesarkan industri OTT di Malaysia."
MASA DEPAN SYARIKAT TELEVISYEN?
Jika trend ini berterusan, lebih ramai orang akan mula melompat untuk menggunakan platfom OTT pada masa akan datang. Tetapi, apa masa depan syarikat televisyen di seluruh dunia, termasuk Malaysia? Bagi Carl, situasi ini tidak begitu jelas buat masa sekarang.
“Sejumlah besar syarikat televisyen mungkin terpaksa tutup pada masa akan datang, tetapi syarikat gergasi yang masih mempunyai akses kepada konten sukan yang cukup premium, seperti FIFA Piala Dunia, ataupun Sukan Olimpik akan terus mampu kekal relevan.
"Tetapi, saya berpendapat bahawa lebih ramai orang akan memilih untuk menggunakan platfom OTT bagi konten sukan popular seperti Serie A dan juga aksi bola sepak domestik. Untuk konten tersebut, Sportsfix kini berada di posisi yang cukup unik untuk terus membesar dalam tahun-tahun yang akan datang."
SPORTSFIX MENJADI HAB SERIE A DI MALAYSIA
Serie A merupakan antara liga bola sepak yang paling popular di seluruh dunia dan berdasarkan konteks Malaysia pula, Serie A boleh dikatakan berada di tangga ketiga bagi liga-liga Eropah yang popular, dengan Liga Perdana Inggeris dan La Liga menduduki tangga pertama dan kedua. Jadi, bagaimana Sportsfix berjaya mendapatkan hak penyiaran untuk Serie A di Malaysia?
“Pada mulanya, sasaran utama Sportsfix adalah ribuan rakyat Indonesia di Malaysia, yang tidak mampu menyaksikan perlawanan Liga 1 Indonesia. Jadi kami menawarkan perlawanan-perlawanan besar daripada liga tersebut, selain Liga Thailand, K-League dan juga Chinese Super League.
“Tetapi selepas jumlah pengguna kami bertambah dengan drastik, kami memilih untuk menggangu eko-sistem televisyen kabel dan membida untuk mendapatkan hak penyiaran Serie A. Ini telah memberi peluang kepada Sportsfix untuk membesarkan jenama di seluruh Malaysia dan kini, anda boleh menyaksikan perlawanan Serie A terpilih, secara ‘LIVE in HD’, untuk RM5 seminggu atau RM10 sebulan."
PELAN JANGKA MASA PANJANG
Dari perspektif Liga Malaysia, iflix telah berjanji untuk melabur 300 juta ringgit ke dalam kerjasama mereka bersama FMLLP untuk 10 tahun akan datang, dan lebih banyak perlawanan tempatan dijangka akan ditayangkan bermula pada tahun hadapan. Untuk tahun ini, kesemua aksi Liga Super dan Piala Malaysia boleh disaksikan melalui platfom mereka.
Bagi Sportsfix pula, aspirasi mereka adalah untuk terus membesar dalam bulan-bulan yang akan datang dan menurut Carl, mereka mempunyai dua perkembangan besar yang bakal dilancarkan dalam masa terdekat.
“Seperti yang saya perkatakan, Sportsfix sudah mula menggangu eko-sistem televisyen kabel dan peringkat seterusnya dalam proses pembesaran kami adalah pelancaran aplikasi telefon pintar Sportsfix, yang akan memperkenalkan pelbagai ciri-ciri baru," tambah Carl.
“Selain itu kami juga akan melancarkan ‘Initial Token Offering’ (ITO), yang bakal menggunakan teknologi blockchain untuk memberi peluang kepada pengguna untuk mendapatkan konten dengan cara yang unik. Kami akan mendedahkan maklumat lanjut berkenaan projek ini dalam beberapa minggu,” ujar Carl.
Untuk menyaksikan perlawanan Serie A terpilih secara ‘LIVE in HD’, sila layari www.sportsfix.tv