Berita Asia Tenggara

Bojan Hodak dedahkan rahsia meraih kejayaan di peringkat antarabangsa

Bojan Hodak mendedahkan bagaimana untuk sesebuah pasukan kebangsaan berjaya di peringkat antarabangsa adalah memiliki barisan pemain pertahanan yang mantap.

Katanya, perkara itu boleh dibuktikan dengan pencapaian pasukannya selepas melakar rekod tanpa kalah di peringkat kumpulan dan hanya dibolosi satu gol dalam empat perlawanan dalam Kejohanan Piala AFF Bawah 19 Tahun (B-19) ketika ini.

“Jika kami mahu meraih kejayaan di peringkat antarabangsa, pasukan perlu memiliki pertahanan yang mantap.

“Apa yang ditunjukkan setakat ini cukup baik memandangkan kami tidak memberi banyak ruang kepada pihak lawan melakukan percubaan.

“Namun jentera serangan perlu ditambah baik kerana kami memiliki lima hingga enam peluang dalam setiap perlawanan namun gagal menyudahkannya dengan baik,” katanya kepada Berita Harian.

Malaysia B-19 akan berdepan cabaran hebat apabila bertemu tuan rumah Indonesia pada separuh akhir di Gelora Delta Sidoarjo pada pukul 7 malam waktu Indonesia hari ini.

Meskipun pernah membenam tuan rumah 4-1 pada aksi kelayakan tahun lalu, namun Bojan Hodak memberi amaran kepada anak buahnya memandangkan tekanan beraksi di separuh akhir jauh berbeza berbanding cabaran dalam aksi peringkat kumpulan.

“Keputusan lalu tidak bermakna apa-apa kerana aksi kelayakan di Korea Selatan sebelum ini tidak boleh dibandingkan dengan aksi separuh akhir kali ini.

“Setiap kesilapan akan membawa padah yang besar memandangkan mereka pasukan yang lebih baik berbanding pasukan yang kami temui sebelum ini.

“Kami juga kehilangan beberapa tonggak untuk perlawanan kali ini dan dengan mereka mendapat sokongan penyokong di laman sendiri, sudah tentu mereka memiliki kelebihan berbanding anak buah saya.

“Namun, kami turun sebagai pasukan bukan pilihan jadi saya berpendapat situasi ini bagus kerana tekanan akan lebih dirasai pasukan Indonesia,” katanya.