Luar Negara Eropah

Terima kasih, Cristiano Ronaldo!

Kapten Real Madrid, Sergio Ramos memberi penghargaan kepada bekas rakan sepasukannya, Cristiano Ronaldo selepas bintang sensasi itu membuat keputusan mengejut menyertai kelab gergasi Itali, Juventus.

Los Blancos mengesahkan Ronaldo meninggalkan Madrid dengan nilai perpindahan 99 juta pound selepas Presiden Juventus, Andrea Agnelli bertemu penyerang itu dan membincangkan mengenai perjanjian perpindahan.

Ramos yang beraksi bersama Ronaldo selama sembilan musim di Bernabeu, mengetuai rakan lain dengan memberi ucapan terima kasih kepadanya selepas sah meninggalkan kelab tersebut.

“Jumlah gol dan semua yang dimenangi bersamanya membuktikan kepada mereka mengenai kehebatan kita.

“Ronaldo sudah mendapat tempat istimewa dalam sejarah Real Madrid sebagai Madridistas dan kami akan sentiasa mengingati anda.

“Ia satu penghormatan bermain di samping anda. Selamat maju jaya,” tulis Ramos dalam akaun Twitter miliknya dengan disertakan gambar bersama Ronaldo meraikan kejayaan.

Gareth Bale juga tampil memberikan penghormatan apabila menyifatkan Ronaldo dalam akaun Instagram miliknya sebagai seorang pemain yang luar biasa.

“Pemain hebat. Satu penghormatan bermain di samping anda dalam tempoh lima tahun. Selamat maju jaya kawanku,” kata Bale.

Pemain tengah, Marco Asensio pula menganggap Ronaldo berjaya memberikan contoh terbaik buatnya dan dijadikan rujukan buat pemain muda.

“Satu kebanggaan dapat bermain di sampingnya, anda sentiasa menjadi contoh dalam apa jua perkara. Saya mengucapkan selamat maju jaya di tempat baharu,” kata Asensio menerusi akaun Twitternya.

Ronaldo berjaya menyumbat 450 gol dalam 438 penampilan bersama Real Madrid dalam semua kejohanan dengan memenangi empat kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah dan empat kali merangkul trofi La Liga dalam tempoh sembilan musim bersama gergasi Sepanyol itu.

Bagi bekas rakan sepasukannya di Real Madrid yang sekarang ini bersama Juventus, Sami Khedira sebaliknya memberi reaksi teruja apabila beliau bersedia untuk berganding semula dengan pemenang lima kali Ballon d’Or itu.

“Selamat datang ke Turin, Cristiano. Kita melalui saat gemilang di Madrid. Sekarang saya tidak sabar untuk bekerjasama dengan anda. Hari ini ialah hari istimewa buat Juventus,” katanya.

Kelab Real Madrid juga mengeluarkan kenyataan terima kasih selepas bintang Portugal itu menganggap bahawa masanya sudah tiba untuk membina karier baharu.

“Hari ini, Real Madrid mahu berterima kasih kepada pemain yang sudah membuktikan bahawa beliau adalah pemain terbaik di dunia dan menempuh satu tempoh paling cemerlang dalam sejarah kelab kami,” kata kelab itu dalam satu kenyataannya.

Bagaimanapun, Real tidak mendedahkan nilai sebenar perpindahan tersebut tetapi media Sepanyol melaporkan ia mungkin mencapai 105 juta euro dengan pemain berusia 33 tahun itu menandatangani kontrak selama empat tahun bernilai 30 juta euro semusim. – Agensi