Luar Negara Piala Dunia 2018

England sudah berikan segala-galanya, kata Gareth Southgate

Gareth Southgate menganggap England sudah memberikan segala-galanya selepas terpaksa akur dengan kekalahan 2-1 dalam perlawanan masa tambahan kepada Croatia pada separuh akhir Piala Dunia, awal pagi tadi.

England mempunyai cita-cita yang tinggi untuk layak ke final Piala Dunia pertama sejak 1966, namun mensia-siakan gol pendahuluan Kieran Trippier.

“Saya fikir pada separuh masa pertama kami terlalu bagus dan mungkin kami patut dapat satu gol lagi,” kata Southgate.

“Saya tidak boleh minta lebih daripada pemain. Bola sepak kalah mati adalah mengenai jurang yang selesa dan apabila berdepan dengan pasukan yang bagus, peluang untuk menang tidak boleh dilepaskan.

“Malangnya kami bukanlah pasukan begitu tapi kami akan belajar daripadanya. Kami sudah bermain habis-habisan di luar sana,” katanya.

Croatia muncul negara terkecil beraksi di final Piala Dunia sejak Uruguay memenangi kejohanan itu pada 1950 apabila mereka berdepan Perancis Ahad ini selepas bangkit menerusi gol Ivan Perisic dan gol kemenangan Mario Mandzukic pada masa tambahan.

Kapten England, Harry Kane juga tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya selepas pasukannya tewas.

“Kami sedih. Ia terasa sakit, terlalu kecewa,” kata Kane selepas perlawanan di Stadium Luzhniki.

“Sudah tentu ia akan terasa terluka buat seketika. Kami boleh rasa berbangga. Ia perjalanan yang mengagumkan, kami dapat melangkah ke tahap ini berbanding pasukan lain yang kami jangka.

“Ia amat hebat hingga ke peringkat ini dan kami tahu kami sudah membanggakan semua orang tapi kami mahu teruskan dan memenanginya.

“Kami fikir kami sudah cukup bagus, kami fikir kami boleh melakukannya. Tapi kami gagal melakukannya. Ia melukakan. Saya tidak tahu nak kata apa lagi,” katanya. – AFP