Luar Negara Eropah

Pekerja Fiat bantah pembelian Cristiano Ronaldo

Meskipun penyokong gergasi Itali, Juventus gembira dengan kemasukan pemain berkelas dunia iaitu Cristiano Ronaldo musim ini, persatuan pekerja Fiat nampaknya tidak bersetuju dengan perpindahan tersebut malah mendakwa pembelian Ronaldo yang bernilai 100 juta euro itu keterlaluan.

Disebabkan itu, Persatuan USB akan mengadakan bantahan selama tiga hari bermula Ahad ini di pangkalan Fiat, dekat bandar selatan Melfi.

“Adalah tidak boleh diterima bahawa pihak pengurusan terus mahukan pengorbanan besar dari para pekerja sejak bertahun-tahun lalu.

“Pada masa yang sama pihak pengurusan mahu menghabiskan berjuta euro mahu membeli pemain,” kata persatuan itu.

Pengeluar kereta Fiat berpangkalan di bandar Juventus, Turin dan kedua-duanya dimiliki keluarga Presiden Juventus, Andrea Agnelli.

Persatuan pekerja meminta pemilik Fiat untuk melabur dalam tenaga kerja bagi mengukuhkan kewangan beribu pekerja dan bukan hanya untuk seorang pemain.

Ronaldo, 33, menyertai Juve selepas sembilan tahun memenangi pelbagai trofi di Real Madrid, malah pernah menyingkirkan Juventus dari Liga Juara-Juara Eropah.

Beliau juga antara pemain yang menewaskan Juventus pada final 2016/2017 dan pemain Portugal itu antara yang menjaringkan gol pada kedua-dua pertemuan di pentas final berkenaan.

Walaupun persatuan pekerja kecewa apabila Juve akan membayar Ronaldo gaji tahunan yanf dilaporkan bernilai 30 juta euro setahun, Banca IMI mendakwa kehadiran pemain itu akan memperkukuhkan jenama kelab itu secara global.

Pada masa yang sama, ia mampu menaikkan jualan tiket kepada 7 juta euro setahun dan meningkatkan jualan, pemasaran dan penajaan bernilai jutaan euro. – AFP