Liga Super Malaysia Berita

Kedah FA tidak akan lantik orang politik, kata Mukhriz Mahathir

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang baharu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, memberi jaminan bahawa beliau tidak akan melantik mana-mana ahli politik dalam persatuan itu jika hanya sekadar memenuhi kekosongan jawatan.

Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah berkata, sebarang lantikan dalam KFA akan disaring sebaik mungkin termasuk aspek profesionalisme dan rekod cemerlang sebelum diberikan jawatan dalam persatuan itu.

“Kita akan elak daripada melantik ahli politik semata-mata untuk memenuhi kekosongan atau sekadar untuk mendapat imbuhan atau habuan sebaliknya kita mahu mereka yang profesional,” katanya kepada Berita Harian.

Mukhriz kembali menerajui KFA selepas menang tanpa bertanding pemilihan jawatan utama.

Beliau yang pernah menyandang jawatan Presiden KFA pada 2013 hingga 2016, menerima pencalonan daripada ahli gabungan dan dipilih memegang jawatan terbabit selepas tidak menerima tentangan daripada calon lain.

Selain itu, jawatan lain dalam KFA yang dipilih membabitkan Timbalan Presiden KFA disandang oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Abdul Rahman Abdullah dan tiga naib presiden iaitu Khamal Idris Ali, Yusuri Yusof, Anas Hafiz Mustafa.

Mengulas kedudukannya sebagai presiden, Mukhriz berkata meskipun beliau adalah seorang ahli politik, namun ia dibuat mengikut syarat ditetapkan kerana membabitkan proses pemilihan dengan pencalonan namanya datang daripada ahli gabungan sendiri.

“Hari ini adalah proses pemilihan dengan pencalonan nama datangnya daripada ahli gabungan, memang benar ada ahli politik, namun pertimbangan yang dibuat ialah keupayaan ahli politik itu untuk melonjakkan bola sepak dan mereka yang dipilih menunjukkan rekod cemerlang sebelum ini,” katanya.

Pada masa sama, Mukhriz berkata pihaknya akan memberi tumpuan terhadap melayakkan diri beraksi di peringkat Asia termasuk Piala AFC pada masa akan datang selepas mempamerkan aksi cemerlang menjuarai Piala FA 2017.

Misi pasukan Kedah beraksi di Piala AFC tidak kesampaian tahun ini selepas gagal memperoleh lesen AFC meskipun layak secara merit.

“Ada peminat dan penyokong minta kita supaya beraksi pada Piala AFC, jadi itu antara tumpuan dalam pimpinan KFA kali ini,” katanya.