Malaysia Berita

Nasib baik kami sempat lari, kata Bojan Hodak

Jurulatih Malaysia Bawah 19 tahun (B-19), Bojan Hodak mengakui barisan pemain, kejurulatihan dan pegawai pasukan berdepan dengan detik mencemaskan apabila mereka dibaling botol minuman dan dihujani batu selepas tamat perlawanan sehingga memaksa mereka berlari masuk ke bilik persalinan untuk menyelamatkan diri.

Ini sejurus selepas pasukan negara menewaskan Indonesia B-19 dalam Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2018 menerusi penentuan sepakan penalti yang berkesudahan dengan 3-2 selepas terikat 1-1 dalam 90 minit perlawanan.

Namun, kemenangan tersebut dicemari dengan insiden keganasan penyokong Indonesia yang tidak berpuas hati dengan kekalahan pasukan tuan rumah pada pertemuan separuh akhir di Stadium Gelora Delta Sidoarjo, semalam.

Lebih 26,000 penyokong Indonesia membanjiri stadium untuk menyaksikan pertembungan dua musuh tradisi, namun ternyata kekalahan tersebut sukar diterima.

“Mereka membaling botol minuman dan batu ke arah kami, mujur kami sempat lari keluar meninggalkan padang dengan segera. Kami bernasib baik tiada siapa yang cedera.

“Saya tidak tahu sama ada pihak pengurusan (FAM) ada membuat aduan kepada pihak tuan rumah dan AFF. Memang kecewa perkara seperti ini masih berlaku,” katanya kepada NSTP.

Insiden tersebut menjadi tular di media sosial selepas satu video menunjukkan semua pemain Malaysia perlu melarikan diri dengan pantas bagi mengelakkan daripada terkena botol mahupun batu yang dilemparkan oleh penonton.

Disebabkan itu juga, ramai penyokong mendesak FAM, AFF serta Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman supaya bertindak segera terhadap insiden tersebut yang dianggap serius dan mengancam keselamatan pemain.