Berita Malaysia

Insiden di Indonesia, FAM perlu tegas!

Di sebalik kehangatan Piala Dunia, semalam kita mendapat berita gembira mengenai kejayaan skuad bawah 19 tahun kita mara ke perlawanan akhir Piala AFF Bawah 19 tahun selepas menewaskan tuan rumah, Indonesia menerusi penentuan sepakan penalti.

Sayang sekali di sebalik kegembiraan itu, kita juga mendengar mengenai bagaimana anak-anak muda kita diberi layanan buruk di penghujung perlawanan. Tidak berpuas hati dengan kekalahan skuad Garuda bawah 19 tahun, sebilangan penyokong Indonesia telah melontarkan objek kepada anak buah Bojan Hodak.

Ini bukanlah kali pertama kita menerima layanan sebegini ketika bertemu Indonesia. Kita memang sudah tahu bagaimana perseteruan di antara Malaysia dan Indonesia terutamanya dalam bolasepak. Indonesia mempunyai penyokong yang sangat fanatic dan mereka ini bertambah gila apabila bertemu Malaysia. Mungkin perseteruan di antara Malaysia dan Indonesia dalam arena bolasepak ini boleh dikatakan antara perseteruan yang hangat di dunia.

Pada tahun 2010, skuad kendalian Datuk K. Rajagobal merasa menaiki kereta perisai Barracuda selepas memenangi Piala AFF Suzuki tahun itu. Tahun berikutnya pula, anak buah Datuk Ong Kim Swee pula merasa suasana yang menakutkan itu. Tahun ini, kita ada tiga kejohanan yang berlangsung di Indonesia. Empat jika kita bertemu Indonesia di peringkat kalah mati Piala AFF Suzuki. Piala AFF Bawah 19 tahun, Piala AFC bawah 19 tahun dan Sukan Asia.

Melihat kepada apa yang berlaku, sudah tiba masanya kita tegas. Kita tidak lupa bagaimana isu salah cetak pada buku Sukan SEA tahun lalu telah menjadi punca kita dibantai teruk. Tetapi, kita tetap berdiplomasi dan memohon maaf di atas kesilapan itu. Tetapi setiap kali kita berkunjung ke Indonesia, pasti akan ada insiden berlaku. Tidak dinafikan bukan semua penyokong Indonesia begitu kerana ramai juga yang mengecam apa yang berlaku, namun, Menteri, Kementerian Belia dan Sukan serta FAM perlu tegas menyuarakan berkenaan isu ini. Mereka perlu menekan, terutamanya Persatuan Bolasepak Indonesia (PSSI) supaya menjamin keselamatan pemain kita di sana.

Tidak terbayang bagaimana kalau Malaysia bertemu Indonesia di perlawanan akhir Piala Dunia yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno. Baru perlawanan pasukan bawah 19 tahun pun sudah jadi begini.

Tapi kita juga perlu beri pujian kepada Bojan Hodak, staff kejurulatihan dan semua pemain skuad bawah 19 tahun yang kekal tenang biarpun berhadapan provokasi. Mereka tidak tewas kepada tekanan dan semoga mereka sekali lagi akan beraksi baik ketika berdepan Myanmar dalam perlawanan akhir esok. Ayuh Malaysia!