Malaysia berjaya memulakan kempen Piala AFC B-16 mereka dengan langkah kanan selepas menewaskan Tajikistan 6-2 di Stadium Nasional, Bukit Jalil petang tadi.
Penyerang muda negara, Luqman Hakim muncul sebagai pemain terbaik di atas padang selepas berjaya meledak empat gol, sekaligus meraih pujian daripada ketua jurulatih, Lim Teong Kim.
“Empat gol adalah satu pencapaian yang bagus tetapi tanpa sokongan pemain lain, sudah tentu dia tidak dapat menjaringkan gol sebanyak itu. Ia kerjasama secara kolektif. Apa yang kita lakukan di peringkat remaja di sini semuanya adalah secara kolektif.
“Memang dia menjaringkan empat gol tetapi anda perlu lihat bagaimana gerakan untuk gol itu dihasilkan. Tetapi ia memang sesuatu baik untuk Luqman,” kata Teong Kim.
“Saya bangga dengan kemenangan pertama anak buah saya dan inilah permulaan yang saya inginkan. Walaupun meraih kemenangan besar 6-2, perlawanan ini tetap memberi kesukaran kepada pemain. Jadi, kami akan menikmati kemenangan pada hari ini sebelum kembali bekerja pada hari esok,” tambah beliau.