Piala Malaysia Berita

Felda United perlu waspada ancaman Kipre, Lee Tuck dan Ashari Samsudin

Menjelang pertembungan suku akhir Piala Malaysia 2018 diantara Felda United menentang Terengganu Football Club (TFC), ketua jurulatih, B Sathianathan melahirkan rasa gusar ekoran beberapa pemainnya tidak dapat diturunkan.

Walaupun bermain di gelanggang sendiri di Stadium Tun Abdul Razak (STAR), Jengka, Felda United bakal turun tanpa beberapa pemain tonggak seperti Thiago Augusto dan Wan Zack Haikal ekoran kecederaan.

Tambahan pula, TFC berada dalam prestasi terbaik dengan beraksi cemerlang di saingan Piala Malaysia setakat ini selain daripada persembahan dalam saingan Liga Super. Skuad kendalian Irfan Bakti juga merupakan pasukan yang meledak gol paling banyak pada peringkat kumpulan.

“Perlawanan esok memang sukar, kami turun tanpa beberapa tonggak yang mana Thiago dan Wan Zack antara penjaring terbanyak pasukan.

“Malah, kami akan jumpa pasukan gergasi Liga Super (TFC) yang berada pada prestasi terbaik selain menjadi antara pasukan yang paling banyak meledak gol dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

“Jadi kami berdepan tekanan kerana persembahan TFC ketika ini amat baik dan memiliki jurulatih berpengalaman,” katanya.

Felda United yang mara ke peringkat suku akhir selaku naib juara Kumpulan B perlu berwaspada dengan tiga tonggak utama TFC iaitu Kipre Tchetche, Lee Tuck dan Ashari Samsudin.

Oleh itu, B Sathianathan menuntut barisan pertahanannya supaya lebih kental untuk mengelakkan mereka daripada dibolosi selain daripada menafikan mereka daripada memiliki kelebihan jaringan di tempat lawan.

“Kalau kami bolos satu gol saja pasti akan membawa padah kerana mereka ada kelebihan. Fokus utama kami mengelak daripada dibolosi.”

“Kami perlu memberi tumpuan kepada tiga pemain mereka, Kipre Tchetche, Lee Tuck dan Ashari Samsudin yang menjadi antara penjaring terbanyak mereka dalam Piala Malaysia,” katanya.