Liga Super Malaysia Berita

Hong Leong MSIG Takaful penaja terbaru Liga Malaysia

Hong Leong MSIG Takaful Berhad (HLM Takaful) mengumumkan penajaan dan kerjasama dengan MFL bagi Liga Malaysia musim 2024-2025.

Kerjasama ini bagi meningkatkan populariti bola sepak di Malaysia, bukan sahaja sebagai sukan tetapi juga sebagai platform untuk mempromosikan gaya hidup sihat dan perlindungan kewangan melalui perlindungan takaful.

HLM Takaful dan MFL percaya bahawa kerjasama ini akan membolehkan mereka terus mempromosikan gaya hidup sihat dan mengukuhkan pemahaman masyarakat tentang takaful melalui sukan bola sepak di Malaysia.

“Memandangkan HLM Takaful ialah pengendali takaful dengan saluran agihan pelbagai, kami berharap dapat memanfaatkan populariti bola sepak untuk menarik lebih ramai perantara dan pelanggan baharu”, kata CEO HLM Takaful, Mohd Asri Omar.

HLM Takaful juga berhasrat meningkatkan kesedaran tentang jenamanya di kalangan penonton MFL, mempromosikan produk dan perkhidmatan takaful keluarga, serta meneroka peluang kerjaya dan keusahawanan untuk rakyat Malaysia.

HLM Takaful juga berhasrat untuk memanfaatkan aktiviti yang boleh diadakan di sekitar stadium untuk mempromosikan beberapa peluang kerjaya dan keusahawanan yang ditawarkan oleh HLM Takaful kepada rakyat Malaysia.

Semua usaha yang dirancang dengan MFL untuk musim ini akan menjadi sebahagian daripada pelan pemasaran HLM Takaful di samping berusaha untuk mengembangkan asas pelanggannya dan meningkatkan kadar penembusan takaful di Malaysia yang kini berada pada sekitar 20%.

Inisiatif ini juga akan meluaskan platform HLM Takaful untuk mempromosikan inisiatif Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan Rangka Kerja Pengantaraan Berasaskan Nilai untuk Takaful (VBIT) melalui pelbagai aktiviti yang berkaitan dengan perlawanan bola sepak.

“Saya amat menghargai minat HLM Takaful untuk bekerjasama dalam pembangunan Liga Malaysia,” kata CEO MFL, Datuk Stuart Ramalingam.

“MFL mendapat pengiktirafan apabila pengendali takaful terkenal HLM Takaful menyatakan hasratnya untuk menjadi penaja rasmi MFL bermula dengan musim 2024-2025.

“Saya percaya adalah langkah tepat untuk HLM Takaful memanfaatkan Liga Malaysia untuk mempromosikan kepentingan perlindungan kewangan melalui produk dan perkhidmatan mereka, memandangkan Liga Malaysia merupakan kejohanan bola sepak elit utama negara yang dapat menarik perhatian semua lapisan masyarakat.”