Caion dan Kipre Tchetche bakal menjadi pemain tumpuan buat Kuala Lumpur City bagi musim 2023.
Ini kerana, kedua-duanya dikenali sebagai penyerang berbisa dengan Caion menjaringkan 15 gol ketika beraksi dengan Selangor manakala Tchetche menjaringkan 13 gol bersama Terengganu musim lalu.
Ia satu penaiktarafan daripada musim lalu apabila KL ketandusan penyerang konsisten meskipun dibarisi Paulo Josue, Romel Morales dan Jordan Mintah.
“Kami memang berminat dengan Caion tahun lalu,” kata jurulatih KL, Bojan Hodak kepada NST.
“Tetapi dia terlalu mahal, dan kami tidak dapat memenuhi tuntutan beliau.”
“Namun, beberapa hari lalu, ejen Caion menghubungi saya. Saya terkejut Selangor melepaskannya, jadi sekarang kami mendapatkannya dengan nilai yang jauh lebih baik.”
Selain itu, KL turut menandatangani pemain Filipina, Patrick Reichelt yang pernah beraksi dengan Melaka United pada pada 2019.
Dua lagi pemain import ialah pertahanan berusia 24 tahun berketinggian 195cm, Matko Zirdum yang berasal dari Croatia dan Sebastian Avanzini yang berusia 27 tahun dari Itali.
Sementara dua pemain tempatan yang menyertai KL adalah Nazirul Naim yang sebelum ini beraksi di Sabah dan Sean Gannelli yang kembali selepas semusim di Pahang.
Namun, tiga pemain diumum meninggalkan KL iaitu Fakhrul Aiman Sidid, Irfan Zakaria yang berhijrah ke Sabah dan Hadin Azman yang menyertai Pulau Pinang.