Liga Super Malaysia Berita

Nafuzi: Saya utamakan anak jati Kedah, tak bawa pemain Terengganu

Nafuzi Zain mengakui beliau akan mengetengahkan lebih ramai pemain yang berasal dari Kedah berbanding pemain dari pasukan lain.

Ini selepas beliau diumumkan sebagai ketua jurulatih baharu Kedah untuk menghadapi saingan musim 2023, setelah menandatangani kontrak dua tahun.

“Saya mementingkan anak jati Kedah sendiri, itu yang paling penting,” kata Nafuzi dalam sidang media pertamanya sebagai jurulatih Kedah.

“Jadi, kalau ada kekosongan, kita akan mengambil anak jati sebab saya lebih suka mengembangkan bakat pemain.

“Kedah juga mempunyai pemain muda berkualiti untuk diketengahkan dan kita tahu pemain yang ada sekarang ini agak berkualiti dan kita nampak pemain muda yang beraksi sebelum ini lebih mematangkan, jadi kita akan cari pemain muda lain.

“Perancangan saya ketika ini adalah melihat bakat-bakat anak muda yang bermain di Liga Kedah. Di situ ada pemain berkualiti perlu diketengahkan.”

Nafuzi juga mengakui, pasukan Kedah tidak terlalu besar untuk musim baharu namun beliau tidak berhasrat untuk membawa pemain dari pasukan lamanya iaitu Terengganu.

“Untuk skuad ketika ini tidak besar, hanya 25 pemain jadi peluang beraksi lebih banyak.

“Tapi, saya tak adalah bawa pemain ke Kedah. Dengan Kedah saya nak bentuk pasukan dengan pemain sedia ada. Bukan dari Terengganu ke Kedah.”

Kedah akan mengharungi musim 2023 dengan bajet sederhana, dengan penambahan beberapa juta sahaja daripada musim lalu.

Kedah juga dijangka menandatangani 9 pemain import, 6 pemain senior import dan 3 lagi merupakan import B23.

Seramai 17 pemain meninggalkan Kedah selepas tidak ditawarkan kontrak baharu.

Namun, ia tidak menghalang Nafuzi untuk mencipta kejutan bagi musim 2023.

“Terima kasih kepada Kedah yang memberi kepercayaan dan peluang kepada saya untuk karier saya.

“Saya tahu tugas yang berat dan mencabar untuk saya kendali Kedah..dari segi sejarah, fasiliti, fanbase besar dan fanatik. Jadi, saya berjanji akan memberi yang terbaik untuk pasukan Kedah. Biar jasa saya dijadikan kenangan di sini di masa akan datang.

“Sebagai jurulatih, mendapat peluang kendali pasukan Kedah bukan sesuatu yang senang. Peluang ini baik sebagai jurulatih untuk mengembangkan karier dan mencari pengalaman.

“Lepas jumpa Tan Sri Daud Bakar dan CEO Khamal Ali, segala perbincangan menarik saya dan saya begitu teruja untuk bersama Kedah.

“Ini pilihan yang tepat dan saya dapat rasa suasana dan aura berbeza daripada sebelum ini.

“Kalau untuk dapat keselesaan mungkin saya berada dengan pasukan sebelum ini tapi di sini saya ada suasana baru, cabaran baru. Saya tak sabar untuk hadapi musim baharu.”