Liga Super Malaysia Berita

Johan Kamal Hamidon dilantik CEO Selangor FC

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Dr Johan Kamal Hamidon dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif kelab bola Sepak Selangor FC.

Ketua Unit Pertandingan FAS, Muhammad Izrin Nabil pula dilantik sebagai Setiausaha Agung FAS yang baharu selepas proses pemisahan entiti pasukan Selangor daripada Persatuan Bola Sepak kepada Kelab Bola Sepak selesai dijalankan pada hari ini.

“Beliau (Muhammad Izrin) berpengalaman luas dalam menguruskan program pembangunan dan pertandingan liga di bawah FA Selangor, di samping peranan mengangkat liga amatur seperti Liga Juara-Juara Selangor ke satu tahap yang baharu,” jelas kenyataan tersebut.

FAS turut memaklumkan SFC bakal diuruskan oleh sebuah entiti baharu iaitu Red Giants FC Sdn Bhd., dan dimiliki oleh beberapa pemegang saham termasuk Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj selaku pemegang saham utama, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Menteri Besar Incorporated (MBI) dan FAS.

Kenyataan tersebut turut memaklumkan bahawa Tengku Amir Shah kekal sebagai Pengerusi SFC serta Presiden FAS walaupun dua entiti berkenaan diuruskan oleh individu yang berbeza.

Penswastaan skuad Liga Super Selangor sebagai sebuah kelab bola sepak profesional telah diluluskan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) secara rasmi pada 29 Sept lalu.