Piala Malaysia Berita

20 pemain dijangkiti Covid-19, Negeri Sembilan tidak dapat teruskan saingan Piala Malaysia

Negeri Sembilan menjadi pasukan pertama yang tidak dapat meneruskan saingan Piala Malaysia musim ini apabila sejumlah besar pemainnya sah positif Covid-19.

Ini meskipun Piala Malaysia akan disambung semula pada 29 Oktober ini, setelah hampir sebulan berehat bagi memberi laluan kepada skuad kebangsaan.

Malah, Negeri Sembilan sepatutnya beraksi di hadapan peminat di gelanggang sendiri dalam perlawanan ketiga Kumpulan C berdepan Kedah.

“Dukacita dimaklumkan bahawa seramai 4 pegawai dan 20 pemain Negeri Sembilan telah sah dijangkiti COVID-19,” kata Negeri Sembilan menerusi akaun rasmi media sosialnya.”

“Mereka sedang menjalani kuarantin wajib di rumah serta dipantau selama 10 hari oleh pihak Kementerian Kesihatan.

Malah, ujian pengesanan COVID-19 secara berterusan sedang dilakukan bagi kontak rapat para pemain dan pegawai yang terlibat.

Namun, atas nasihat yang diberikan oleh doktor pasukan, Negeri Sembilan terpaksa membatalkan perlawanan persahabatan menentang Kuching City FC yang sepatutnya diadakan pada 20 Oktober lalu dan tidak dapat meneruskan baki saingan Piala Malaysia untuk musim 2021.

“Pihak NSFC berharap para penyokong memberi sokongan dan mendoakan kesejahteraan para pemain dan pegawai pasukan.

“Masyarakat dinasihatkan supaya tidak leka dan kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan bagi membendung penularan wabak COVID-19.”

Negeri Sembilan hanya sempat beraksi dalam dua perlawanan Piala Malaysia iaitu ketika tewas 2-0 kepada Melaka United pada 27 Sept dan menang 1-0 ke atas Kelantan United pada 1 Oktober lalu.