Eropah Berita

AS Roma dibelasah 6-1 oleh kelab Norway, Mourinho dimalukan Bodo/Glimt di pentas Eropah

AS Roma dikejutkan dengan kekalahan besar 6-1 oleh juara Liga Norway, Bodo / Glimt dalam saingan peringkat Kumpulan C, Europa Conference League pagi tadi.

Pasukan gergasi Itali itu jelas bergelut dengan suhu bawah dua darjah Celsius di atas padang sintetik di Stadium Aspmyra yang betul-betul terletak di lingkungan kawasan Kutub Utara.

Bodo / Glimt mendahului seawal minit ke-8 menerusi jaringan Erik Botheim, sebelum Patrick Berg menambah jaringan kedua pada minit ke-28, namun Roma berjaya merapatkan jurang pada minit ke-28 hasil jaringan Carles Perez.

Bagaimanapun, Roma dibolosi 4 gol pada separuh masa kedua menerusi Botheim pada minit ke-52, disusuli dengan gol Ola Solbakken pada minit 71, Amahl Pellegrino pada minit ke-78 sebelum Solbakken melengkapkan kemenangan besar dengan jaringan pada minit ke-80.

“Saya bertanggungjawab, saya yang memilih untuk menggunakan pemain ini,” kata Mourinho seperti dilaporkan oleh media Itali.

“Jika saya bariskan pasukan utama, seseorang pemain mungkin cedera, dan jika kami bolos empat atau lima gol menentang Napoli pada hari Ahad nanti, keputusan itu juga akan dianggap salah.

“Pasukan Bodo hari ini jauh lebih berkualiti daripada pasukan kedua kami.”

Kapten AS Roma, Lorenzo Pellegrini menggambarkan kekalahan itu sebagai “memalukan” dan “tamparan” di mukanya.

“Saya hanya boleh meminta maaf dan kembali bangkit selepas ini. Kami mengatakan apa yang kami perlukan di bilik persalinan dan ia kekal di sana,” katanya.

“Kadang-kadang kita memerlukan tamparan untuk belajar dan kami mendapat tamparan di muka kami hari ini, kami layak ditampar. Kami perlu memastikan bahawa kami belajar dari rasa malu ini.”