Liga Super Malaysia Berita

Safawi Rasid sertai Ratchaburi FC

Safawi Rasid disahkan akan menyertai kelab Thailand, Ratchaburi FC secara pinjaman bagi musim 2023.

Beliau akan menyertai pasukan baharunya Ratchaburi yang terletak lebih 100km dari Bangkok selepas selesai Piala AFF 2022.

Pemain berusia 25 tahun itu beraksi 23 perlawanan dalam kesemua pertandingan musim ini, dengan 14 perlawanan Liga Super diturunkan sebagai pemain gantian.

“Perjanjian telah selesai,” kata Pengerusi Ratchaburi, Tanawat Nitikanchana.

“Safawi akan menyertai pasukan kami selepas menyelesaikan tugas kebangsaannya.

“Saya harap ini akan menarik peminat baharu untuk kelab kami.”

Ini kali kedua Safawi berhijrah ke luar negara selepas beliau menyertai kelab Portugal, Portimonense sebagai pemain pinjaman.

Bagaimanapun, beliau kembali ke JDT selepas dua bulan di sana.

Beliau baru sahaja berkahwin dengan isterinya, Syifa Melvin dan kini menjalani kem latihan pusat kebangsaan.

Safawi menjadi pemain terbaru Malaysia yang berhijrah ke Thailand selepas Mohamadou Sumareh, Dominic Tan, Norshahrul Idlan Talaha dan Shahrel Fikri.