Malaysia Berita

Rajagobal letak jawatan jurulatih Brunei

K. Rajagobal membuat keputusan untuk meletak jawatan sebagai jurulatih pasukan kebangsaan Brunei.

Ini meskipun jurulatih berusia 65 tahun itu masih mempunyai baki setahun dalam kontraknya.

“FA Brunei Darussalam (FABD) dan Rajagobal telah bersetuju untuk berpisah pada akhir Januari 2022,” kata FABD dalam kenyataan.

“Ini adalah keputusan yang sukar untuk FABD kerana Rajagobal telah berkhidmat dengan cemerlang sejak Februari tahun lalu.

“Tetapi, situasi yang berleluasa dengan pandemik Covid-19 telah menyukarkan kedua-dua pihak.

“Sebagai mengiktiraf sumbangannya, FABD menzahirkan rasa terima kasih atas perkhidmatannya yang singkat tetapi memberi impak dan kami sedih melihat beliau pergi dalam keadaan yang sukar.”

Rajagobal yang mengambil alih jawatan daripada jurulatih Inggeris, Paul Smalley pada Mei 2020, sepatutnya mengendalikan Brunei bagi perlawanan kelayakan Piala AFF Suzuki menentang Timor Leste pada 1 Disember tahun lepas.

Bagaimanapun, disebabkan bimbang dengan kemungkinan penularan Covid-19, Brunei membuat keputusan untuk menarik diri.

“Terima kasih Brunei,” kata Rajabobal menerusi akaun Twitter miliknya.

“Tidak banyak yang boleh kami lakukan dengan kekecewaan dan keterbatasan disebabkan oleh pandemik Covid-19.

“Jadi ini adalah keputusan wajar untuk kedua-dua pihak. Saya akan merindui pemain, mereka mempunyai bakat dan mereka mempunyai perwatakan terbaik.

“Semoga berjaya kepada bola sepak Brunei.”