Luar Negara Berita

Rajagobal akui tidak akan guna ‘resipi lama’ kendalikan Brunei

K. Rajagobal mengakui gembira dapat kembali ke arena bola sepak antarabangsa apabila dilantik sebagai jurulatih skuad kebangsaan Brunei.

Jurulatih berusia 64 tahun itu menandatangani kontrak selama tiga tahun bersama Persatuan Bola Sepak Brunei (NFABD) kelmarin.

Beliau diberikan tanggungjawab untuk memperbaiki ranking dunia FIFA dan memastikan Brunei layak ke saingan Piala Suzuki AFF 2021.

“Ini adalah satu penghormatan dan peluang untuk saya kembali ke arena bola sepak antarabangsa,” katanya kepada Astro Arena.

“Saya perlu berterima kasih kepada NFABD kerana memberikan kepercayaan kepada saya sebagai jurulatih dan saya dapat kembali ke tahap dan suasana yang saya sudah biasa di peringkat antarabangsa seperti sebelum ini, ia satu cabaran buat saya.”

Rajagobal bagaimanapun mendedahkan beliau akan menggunakan pendekatan berbeza di Brunei berbanding ketika mengendalikan skuad kebangsaan Malaysia sebelum ini.

“Mungkin saya perlu tukar sedikit resipi saya. Bukan selalu kita boleh mengikut resipi lama kerana akan sentiasa ada perubahan.

“Saya perlu melihat apa resipi yang boleh digunakan untuk meningkatkan permainan pemain Brunei.

“Saya yakin bahawa pemain sedar dan sudah mendengar berita bahawa saya akan ke sana, jadi saya mahu mereka memberikan kerjasama, bekerja keras dan yakin kami mampu melakukan sesuatu.

“Sudah pasti seluruh rakyat Brunei sudah lama menantikan untuk melihat pasukan kebangsaan mereka ada peningkatan walaupun bukan peningkatan yang drastik.”

Rajagobal terlibat dengan skuad kebangsaan sejak 2004 apabila dilantik sebagai jurulatih B-19 dan kemudian menjadi jurulatih Harimau Muda A, yang menjadi juara Liga Perdana pada 2009.

Dalam tahun 2009 juga, Rajagobal dilantik sebagai jurulatih skuad kebangsaan senior dan B-23.

Beliau membantu skuad B-23 merangkul pingat emas Sukan SEA 2009, sekali gus menamatkan kemarau 20 tahun.

Di peringkat senior, skuad Malaysia membuat kejutan apabila menjuarai Piala AFF Suzuki 2010 apabila menewaskan Indonesia di pentas final.

Namun, Rajagobal tidak bernasib baik selepas itu apabila Malaysia terkandas di kelayakan Piala Dunia 2014 dan kelayakan Piala Asia 2015.

Kontrak Rajagobal bersama skuad kebangsaan berakhir pada hujung 2013.

Beliau kembali mengendalikan pasukan liga dengan Sarawak pada 2016 dan PKNS FC pada 2017 hingga 2019.