Malaysia Berita

K Rajagobal ditemu duga, disenarai pendek Brunei FA

K Rajagobal dilaporkan dalam senarai pendek untuk dilantik sebagai ketua jurulatih baharu pasukan bola sepak kebangsaan Brunei.

Agensi berita Bernama melaporkan, bekas jurulatih kebangsaan Harimau Malaya itu telah disenarai pendek selepas satu proses pemilihan dibuat oleh Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Brunei Darussalam (NFABD).

Beliau bersama dua calon lagi telah melalui proses temu duga secara maya yang dikendalikan NFABD pada 28 Okt lalu, dengan keputusan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Pasukan Brunei kini menduduki ranking ke-191 dunia dan antara dua pasukan tercorot dalam kalangan negara ASEAN bersama Timor Leste, yang berada di kedudukan ke-197.

Rajagobal mempunyai pengalaman luas sebagai jurulatih dan amat dikenali sebagai salah seorang jurulatih terbaik di rantau ASEAN.

Ini setelah beliau mencipta sejarah apabila membantu pasukan kebangsaan memenangi Piala AFF Suzuki pada 2010, iaitu kejuaraan pertama Malaysia dalam kejohanan tersebut.

Selepas kontraknya tamat pada akhir 2013, Rajagobal kembali dalam arena bola sepak tempatan apabila menjadi jurulatih Sarawak pada 2015 dan menjadi jurulatih PKNS FC pada 2017 sehingga kontraknya tamat pada hujung 2019.

Jika menjadi kenyataan, Rajagobal akan menjadi individu pertama Malaysia yang dilantik sebagai jurulatih Brunei dan ini akan menjadi tugas negara yang kedua buat dirinya selepas skuad kebangsaan Harimau Malaya.