Malaysia Berita

FAM tidak berancang tarik diri dari Piala AFF Suzuki 2021

Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam menafikan bahawa pihaknya merancang untuk menarik diri daripada meneruskan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dan Piala Suzuki AFF.

Ini selepas terdapat laporan media luar negara yang menyatakan bahawa FAM berancang berbuat demikian kerana pandemik COVID-19 yang menjejaskan perancangan skuad kebangsaan.

“Kami di FAM tidak mempunyai sebarang rancangan untuk menarik diri daripada mana-mana pertandingan yang dinyatakan,” katanya kepada Bernama.

Setakat ini, FIFA dan AFC memutuskan aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 akan ditangguhkan pada 2021 ekoran COVID-19 yang masih menular, dan akan mengumumkan tarikh baharu kelak.

Namun, AFF sudah pun menetapkan tarikh baharu Piala Suzuki iaitu dari 11 April hingga 8 Mei tahun hadapan.

Dengan MFL yang baru sahaja mengumumkan kalendar Liga Malaysia 2021 yang akan bermula pada 26 Februari tahun depan, jadual pastinya akan bertambah padat.

Sudah tentu, segala-galanya bergantung kepada situasi semasa, yang diharap akan bertambah baik bagi menghidupkan semula industri bola sepak yang terjejas teruk akibat COVID-19.