Liga Super Malaysia Berita

JDT tandatangan pemain sayap dari Sepanyol, Moussa Sidibe

Kelab Johor Darul Ta’zim menandatangani seorang lagi pemain dari Sepanyol, Moussa Sidibe bagi menghadapi saingan musim Liga Malaysia 2022.

Perkara itu disahkan oleh Johor Southern Tigers menerusi video dan gambar yang menunjukkan beliau menjalani sesi pra-musim JDT di Dubai, UAE.

Sidibe yang berusia 27 tahun dan beraksi di bahagian sayap dilahirkan di Bamako, Mali namun berhijrah ke Sepanyol pada usia 12 tahun.

Beliau memulakan karier profesional bersama kelab divisyen ketiga Sepanyol, SD Almazan pada 2013.

Namun, beliau boleh dianggap sebagai pemain nomad kerana sering berpindah kelab hampir setiap tahun.

Beliau mula berhijrah ke kelab Ebro dan kemudian Epila pada 2014, sebelum berpindah ke kelab Montecarlo dan Benferri pada 2015.

Sidibe kemudian berpindah ke kelab Ibiza (2016), CD Guadalajara (2017), Algeciras (2018), Llagostera (2018), FC Andorra (2019) dan terbaru kelab divisyen kedua SD Ponferradina (2020).

Namun, awal tahun lalu, beliau dipinjamkan ke Cordoba CF sebelum dipinjamkan ke Costa Brava bagi musim 2021-2022.

Bagaimanapun, Sidibe membuat keputusan untuk memendekkan tempoh pinjamannya serta menamatkan kontrak bersama Ponferradina bagi menyertai JDT.