Luar Negara Berita

K. Rajagobal dilantik sebagai jurulatih Brunei

K. Rajagobal dilaporkan telah dilantik sebagai ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan Brunei.

Beliau mencipta sejarah apabila menjadi jurulatih tempatan pertama yang mengendalikan skuad kebangsaan luar negara dalam tempoh 20 tahun, selepas M Karathu menjadi jurulatih Sri Lanka pada 1999.

Ini juga bermakna, beliau kembali mengendalikan skuad kebangsaan selepas kali terakhir berkhidmat di peringkat antarabangsa pada 2013.

Astro Arena melaporkan, jurulatih berusia 64 tahun itu menjadi pilihan utama setelah dihubungi oleh Brunei FA beberapa bulan sebelum ini.

“Ada wakil Brunei FA hubungi saya pada Ogos lepas dan bertanya sama ada saya berminat untuk menjadi ketua jurulatih Brunei.

“Saya kata kita boleh berbincang dan dari situlah ia bermula.”

Rajagobal merupakan jurulatih keempat yang mengendalikan Brunei pada 2020 selepas Paul Smalley, Ali Mustafa, Aminuddin Jumat dan Ameer Lani.

Kali terakhir Rajagobal mengendalikan pasukan adalah pada tahun lepas, ketika beliau menjadi jurulatih PKNS FC.

Brunei dilihat bercita-cita besar dan menjadi satu cabaran baharu buat Rajagobal apabila Brunei kali terakhir bersaing Piala AFF pada 1996 dan menduduki tangga 191 dunia dalam ranking FIFA.