Liga Super Malaysia Berita

Syafiq Ahmad: Banyak lagi perkara yang perlu dilakukan jika mahu layak ke Piala Asia 2023

Syafiq Ahmad menyifatkan perpindahannya ke Kedah merupakan salah satu usahanya untuk meningkatkan prestasi bagi menghadapi kelayakan Piala Asia 2023, Jun tahun depan.

Penyerang berusia 26 tahun itu kembali ke Kedah secara pinjaman dari Johor Darul Ta’zim, selepas gagal menembusi kesebelasan utama pasukan sejak berhijrah ke Johor Bahru pada 2018.

“Selepas tersingkir di peringkat kumpulan Piala Suzuki AFF, saya rasa banyak perkara yang perlu dilakukan jika kami mahu layak ke Piala Asia 2023,” katanya kepada The Star.

“Saya mahu berada pada tahap terbaik apabila kami bermain di pusingan kelayakan.

“Sasarannya adalah untuk layak ke pusingan akhir dan saya perlu berada pada tahap terbaik, bermula dengan bermain untuk Kedah dan beraksi sehingga tahap yang diinginkan untuk membantu semua orang termasuk saya sendiri.”

Beliau juga memuji perancangan Kedah yang menyerap masuk beberapa pemain muda daripada skuad Piala Presiden untuk pasukan utama musim depan.

“Ia adalah pasukan yang berbeza dengan ramai pemain muda. Seronok melihat Kedah membawa masuk pemain-pemain ini.

“Walaupun kehilangan pemain utama seperti Rizal Ghazali dan Baddrol Bakhtiar, saya percaya pasukan ini akan beri ruang kepada pemain muda.”

Pada masa sama, Syafiq mahu membantu Kedah layak ke pusingan kalah mati dalam Piala AFC.

“Kedah telah layak ke Piala AFC tiga musim berturut-turut dan saya berharap kita mengekalkan standard itu.

“Apabila kami bermain di peringkat antarabangsa, kita mesti sasar mara ke peringkat kalah mati.”