Liga Super Malaysia Berita

Syafiq Ahmad terlibat kemalangan

Penyerang JDT, Syafiq Ahmad dilaporkan terlibat dalam kemalangan dalam kejadian di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Sungai Bakap di sini awal pagi tadi.

Kejadian itu melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Vellfire yang mengorbankan bayi lelakinya berusia 22 hari dan turut maut ialah wanita warga tempatan Zainab Wahab, 45, dan warga Indonesia Titik Sukamti, 30-an.

Seorang lagi anak perempuannya, Aaira Nur Saffiyya, 2, turut cedera ringan namun isteri beliau, Nur Amalina Nur Ain, 25, dilaporkan cedera parah.

Utusan melaporkan, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Pulau Pinang menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 5.36 pagi dan tiba di lokasi kurang 10 minit kemudian.

Sebaik sahaja tiba, katanya, sebuah kereta pelbagai guna jenis Toyota Vellfire berwarna hitam didapati remuk teruk selepas dipercayai terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

“Terdapat enam mangsa iaitu tiga dalam keadaan selamat manakala tiga lagi tersepit di dalam kenderaan itu. Pasukan bomba kemudian membuat kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas.”

Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan kira-kira pukul 6.10 pagi.

“Tiga mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.”