Premier League Berita

Harry Maguire: Pemain Man United perlu bertanggungjawab, prestasi punca Ole dipecat

Kapten Manchester United, Harry Maguire mengakui semua rakan sepasukannya mesti bertanggungjawab di atas pemecatan Ole Gunnar Solskjaer.

Jurulatih dari Norway itu berpisah dengan Man United selepas hampir tiga tahun bergelar pengurus apabila tewas 4-1 kepada Watford dalam Premier League.

Bercakap ketika menjelang pertembungan penting Liga Juara-Juara Eropah menentang kelab Sepanyol, Villarreal, Maguire berkata pemecatan Solskjaer telah menjadi hari yang penuh emosi bagi Man United.

“Ia adalah saat yang sangat sukar sebagai pemain,” kata Maguire.

“Kami hormat kepada beliau, kami telah melalui perjalanan bersama.

“Pemain perlu memikul tanggungjawab yang besar. Akhirnya pengurus yang menjadi mangsa, kami semua sangat kecewa. Kami tahu kami belum cukup bagus. Tapi kami mahu berjaya.

“Kami belum cukup baik, baik secara individu atau kolektif.

“Kita perlu mencari sesuatu dalam diri kita untuk mencari fokus dan mentaliti itu.

“Pengurus datang dan bercakap dengan kami, ia adalah hari yang penuh emosi. Dia seorang legenda, dia akan kekal sebagai seorang legenda.”

Michael Carrick, yang berkhidmat dengan Solskjaer selama tiga tahun, juga berkata ia merupakan perpisahan yang penuh emosi tetapi menyifatkan keutamaannya sekarang ialah meraih kemenangan menentang Villarreal yang boleh mengesahkan tempat United dalam pusingan 16 terakhir.

“Ini bukan masa untuk melihat ke belakang sekarang, saya tahu apa yang boleh saya lakukan dalam fikiran saya sendiri dengan lebih baik.”

“Bagi saya apa yang penting ialah penerbangan ke Sepanyol dan membuat persediaan. Apa yang saya fikirkan ialah perlawanan.

“Kami mempunyai perlawanan besar pada hujung minggu (menentang Chelsea) tetapi kami boleh hadapinya. Selagi kelab mahukan saya, saya akan memberikan yang terbaik.”

United tewas kepada Villarreal menerusi sepakan penalti dalam perlawanan akhir Europa League musim lalu tetapi membalas dendam itu dengan kemenangan 2-1 di tempat sendiri pada bulan September apabila Cristiano Ronaldo menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan.

Dalam Kumpulan F, United dan Villarreal kedua-duanya mengumpul tujuh mata daripada empat perlawanan dan kelab Itali, Atalanta dengan lima mata dan Young Boys dari Switzerland dengan tiga mata.